Seharian di rumah pasti teringin juga makan lauk kenduri, jadi hari ini kami kongsikan resepi Gulai Kawah Kelantan yang cukup beraroma untuk anda cuba di rumah.
Gulai Kawah Kelantan adalah lauk gulai popular di negeri Kelantan yang dapat namanya kerana dimasak dalam kawah besar dan biasanya disediakan untuk majlis kenduri.
Tak payah tunggu jemputan kenduri kerana anda masih boleh buat di rumah dengan resepi Gulai Kawah Kelantan yang dikongsikan oleh Azizah Daud di Facebook ini. Jom kita cuba!
Baca juga: Ayam Masak Merah Kenduri Kahwin, Guna Minyak ‘Ini’ Baru Ada Aroma Pengantin!
RESEPI GULAI KAWAH KELANTAN
Bahan-bahan:
- 1kg daging (potong melintang nanti cepat empuk, basuh bersih dan toskan)
- ½kg santan
- 4 sudu rempah kari
- 3 sudu kerisik
- 5 biji kentang (buang kulit, potong)
- Sedikit air asam jawa
- Nise atau gula melaka
- Garam dan gula secukup rasa
Bahan A (untuk menumis):
- 1 labu bawang merah besar (dimayang)
- 2 ulas bawang putih (dimayang)
- 1cm halia (dimayang)
- 1 batang kayu manis
- 2 biji buah pelaga
- 2 kuntum bunga cengkih
- 1 kuntum bunga lawang
Bahan B (untuk dikisar)
- 2 labu bawang merah besar
- 3 ulas bawang putih
- 2cm halia
Cara-cara memasak:
1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis semua bahan A sehingga garing dan masuk serbuk kari bancuh dengan sedikit air.
2. Kacau rata sehingga pecah minyak. Masuk bahan B, kacau. Masuk daging, kacau bagi sebati biar sehingga air daging keluar.
3. Tambah sedikit air kalau daging belum empuk. Apabila sudah empuk, masuk santan. Jika pekat, masuk air. Tengok sebanyak mana nak kuah sesuai dengan daging.
4. Masuk kentang, biar mengelegak dan mendidih.
5. Masuk air asam jawa, garam, gula, nise, secukup rasa dan kerisik. Biarkan mendidih merenih hingga pecah minyak. Siap untuk dihidang!
Semasa buat resepi Gulai Kawah Kelantan, anda perlu gunakan api kecil untuk didihkannya kerana semakin lama mendidih dengan api kecil, lauk ini akan semakin cantik dan sedap.
Selamat mencuba!
Sumber: Azizah Daud
Baca juga: Cara Masak Ayam Kicap Berempah, Biasa Jumpa Lauk Ini Di Kenduri Je