Tepung Talam Pandan ialah kuih tradisional popular di kalangan masyarakat Melayu pada zaman dulu dan ramai teringin tahu kesedapan kuih yang dikatakan legend ini.
Oleh itu, kami nak kongsikan resipi kuih Tepung Talam Pandan yang menarik oleh Lydia Na Kitchen di Facebook untuk anda. Jom kita cuba!
Baca juga: Talam Ubi Kanda Mudah Dengan 5 Bahan, Bila Makan Terasa Disayangi Adinda!
RESIPI TEPUNG TALAM PANDAN
Bahan-bahan lapisan bawah:
- 3 cawan jus pandan (kisar 5 hingga 6 helai daun pandan dengan 3 cawan air)
- 1 cawan tepung gandum
- ½ cawan tepung ubi
- ½ cawan gula
- 1 sudu teh esen pandan coconut
- ½ cawan santan kotak
- Pewarna hijau epal star brand
Bahan-bahan lapisan atas:
- 200ml santan kotak kecil
- ½ sudu teh garam
- 3 sudu makan gula
- ½ cawan tepung gandum
- ½ cawan tepung beras
- 1½ cawan air atau 300 ml
Cara-cara membuat tepung talam pandan:
1. Mula-mula, sekalikan tepung gandum, tepung ubi dan gula ke dalam bekas.
2. Selepas itu, tuang jus pandan dan kacau-kacau, kemudian letak esen pandan dan pewarna hijau. Tapis supaya adunan tak berketul.
3. Kemudian, tuang ke dalam loyang 9×9 yang disapu minyak atau lapik dengan plastik.
4. Seterusnya, kukus adunan lapisan bawah selama 15 hingga 20 minit.
5. Sementara itu, boleh sediakan adunan untuk lapisan atas. Sekalikan semua bahan lapisan atas ke dalam bekas dan tapis sebanyak dua hingga tiga kali.
6. Setelah lapisan bawah sudah masak, buka penutup periuk pengukus sekejap bagi permukaan kuih kering.
7. Apabila sudah kering, cakar-cakar guna garfu dan barulah tuang adunan lapisan atas.
8. Akhir sekali, kukus lagi selama 25 hingga 30 minit. Penutup kena sesekali buka dan buang air supaya air tak bertakung atas kuih. Setelah sejuk, baru potong. Siap untuk dinikmati!
Gabungan rasa manis dan masin pada kuih Tepung Talam Pandan ini memang menyelerakan. Bukan saja hasilnya licin dan cantik apabila dipotong, malah teksturnya juga sangat lembut.
Selamat mencuba!
Sumber: Lydia Na Kitchen
Baca juga: Talam Pisang Kukus, Resipi Ini Bawa Citarasa Klasik Yang Luar Biasa