Jom cuba buat hidangan sayur yang lazat dan viral ini iaitu Sayur Taugeh Tumis Sos Tiram. Campak-campak dalam kuali dah siap! Taugeh sayur tumis dalam sos tiram adalah pilihan tepat bagi anda yang inginkan hidangan yang ringan dan mengiurkan lidah.
Ditumis pula bersama sos ikan, bawang putih, dan bawang merah, ia akan memberikan tekstur yang sedikit lembut tetapi masih mempunyai rasa kenyal yang bagus.
Bawang putih dan bawang merah yang ditumis dengan betul akan memberikan aroma yang harum dan menambah selera makan.
Baca juga: Tip Sayur Cantik Berkilat Macam Kat Restoran, Buat INI Dulu Sebelum Goreng
Gabungan taugeh yang rangup dan sos tiram yang enak mencipta keharmonian rasa umami yang unik. Kehadiran rasa umami inilah yang akan membuatkan rasa hidangan lebih menyelerakan dan memikat lidah.
Tanpa membuang masa, ikuti resipi dari perkongsian Cik Puan @nadgee ini. Memang makan bertambah dibuatnya nanti!
RESIPI SAYUR TAUGEH TUMIS SOS TIRAM
Bahan-bahan:
- 1 biji bawang merah besar
- 2 ulas bawang putih
- 1 pek taugeh hijau/taugeh Cameron
- 2 sudu kecil sos tiram
- 3 sudu besar sos ikan
- Sedikit air
- Sedikit minyak untuk menumis
Cara-cara memasak:
1. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga layu dan naik bau.
2. Masukkan sayur taugeh yang sudah dibersihkan.
3. Masukkan sos tiram dan sos ikan.
4. Tambahkan sedikit air jika terlalu kering. Tak perlu perasakan dengan garam sebab dua sos tadi sudah masin.
5. Kacau bagi sebati dalam 5 minit kemudian tutup api.
6. Sedia dihidang panas-panas.
Selamat mencuba resipi Sayur Taugeh Tumis Sos Tiram ini.
Baca juga: Sayur Campur Cara SIMPLE, Campak-campak Dalam Kuali Dah Siap!