Orang Malaysia memang tak lari daripada makan sesuatu hidangan utama bersama sambal. Lebih-lebih lagi jika dapat makan dengan Sambal Belacan Thai, semakin berselera jadinya.
Sambal Belacan Thai sangat sesuai dijadikan sebagai pelengkap untuk menu nasi berlauk. Kadangkala, ada sambal ini bersama ikan goreng saja sudah cukup membuat selera terangkat.
Jika anda ingin buat sambal yang terus siap tanpa perlu menyimpannya, anda boleh ikut resipi yang dikongsikan oleh Noor Hafiza Mohamad di Facebook ini. Jom kita cuba!
Baca juga: Sambal Pucuk Ubi Rangup, Nak Hasil Elok Dan Tak Serap Minyak Guna Tips Ini
RESIPI SAMBAL BELACAN THAI
Bahan-bahan:
- Cili padi merah
- Cili padi hijau
- Bawang merah
- Cili besar
- Limau kasturi
- Belacan
- Bawang putih jeruk
- Cuka
- Garam
- Gula
- Ajinomoto
- Gula Melaka
- Air masak
Cara-cara membuat:
1. Mula-mula, masukkan cili padi merah, cili padi hijau, cili besar, bawang merah, bawang putih jeruk, belacan dan gula melaka ke dalam mesin pengisar.
2. Selepas itu, masukkan pula penambah perasa seperti cuka, garam, gula dan sedikit ajinomoto.
3. Akhir sekali, masukkan air masak secukupnya dan kisar sehingga lumat. Kemudian, picit limau kasturi mengikut citarasa. Siap untuk digunakan!
Biasanya nak buat sambal ini perlu bakar bahan-bahannya, tapi dengan versi ekspres sebegini lebih cepat siap dan anda boleh terus gunakan untuk menjadikan hidangan di rumah lebih sempurna.
Sambal Belacan Thai sangat disukai ramai terutamanya ketika menjamu selera di kedai makan Thai kerana kombinasi rasa pedas, masam dan sedikit manisnya sungguh memikat.
Sesetengah orang lebih suka makan sambal segar berbanding yang lama disimpan, jadi kami berpendapat resipi ini pasti membuat anda sekeluarga tertarik untuk menikmatinya.
Jika ada ahli keluarga anda yang kurang sukakan pedas, boleh kurangkan penggunaan cili padi atau tak perlu masukkan cili besar sekalipun kerana sedapnya tetap terasa apabila memakannya.
Selamat mencuba!
Sumber: Noor Hafiza Mohamad
Baca juga: Resepi Sambal Belacan Siam, Tambah Bahan ‘Ini’ Baru Sedap Beraroma