Roti jala merupakan salah satu sajian popular yang dihidangkan pada Hari Raya Aidilfitri. Digandingkan dengan kari ayam atau daging, ringkas namun sentiasa menjadi ‘rebutan’! Resipi roti jala ini tidak sukar, namun ada ada teknik dan petuanya untuk mendapatkan tekstur roti jala yang lembut dan tidak cepat rosak.
Jom cuba buat dengan menggunakan resipi hasil perkongsian oleh pengguna Facebook, Nor Al Fatihah ini. Roti jalanya bukan sahaja boleh bertahan lama, bahkan ia kekal embut walaupun sudah semalaman siap dimasak.
RESIPI ROTI JALA MUDAH, SEDAP & LEMBUT
Bahan-bahan:
- 1 kg tepung gandum
- 2 biji telur A
- 1/2 tin susu cair (1 cawan)
- 150ml minyak masak
- 1500ml air
- Sedikit garam
- Pewarna kuning telur
Cara-caranya:
- Satukan semua bahan, kisar sehingga semuanya sebati.
- Tuangkan ke dalam botol (ada muncung 3) atau boleh guna acuannya jika ada. Sedia untuk dimasak.
- Guna kuali non-stick, leser sedikit minyak untuk kiraian yang pertama. Yang seterusnya tak perlu leser minyak.
- Lepas jala atas kuali, biarkan dalam beberapa saat. Kalau dah masak tak perlu terbalikkan, boleh terus angkat dan gulungkan.
TIPS PENTING:
- Jika nak makan pada keesokan pagi, boleh mula masak pada pukul 10 malam.
- Pastikan roti jala sejuk sepenuhnya sebelum disimpan dalam bekas tertutup supaya lambat basi.
Roti jala sedia untuk dimakan dengan kari ayam atau ayam masak kuzi. Sedapnya!
Kredit: Nor Al Fatihah