
Kalau bosan makan nasi, apa kata cuba buat mee segera goreng seafood yang mudah dan menyelerakan ini. Walaupun menggunakan mi segera, bila ditambah dengan udang, sotong dan beberapa bahan dapur, rasanya boleh jadi lebih istimewa seperti menu di kedai makan.
Resipi ini sesuai untuk dinikmati bersama keluarga kerana menggunakan hanya 2 pek mi segera tetapi boleh menghasilkan hidangan untuk kira-kira 3 orang makan. Kuahnya yang pekat dengan rasa pedas, manis dan sedikit berempah memang buatkan setiap suapan terasa lebih nikmat.
Menariknya, cara penyediaan menu ini juga sangat mudah dan tidak mengambil masa lama. Bahan-bahan yang digunakan pun ringkas dan boleh diubah mengikut cita rasa seperti menambah ayam, sosej atau protein lain sebagai ganti kepada makanan laut.
Baca juga: Cara Goreng Ayam Berempah 3 Bahan Paling Mudah, Kulit Rangup & Isi Tetap ‘Juicy’!
RESIPI MI SEGERA GORENG SEAFOOD

Bahan-bahan:
- 2 pek mi segera perisa kari
- 1 biji bawang merah (dihiris)
- 2 ulas bawang putih (dihiris)
- 1 sudu besar cili kisar atau cili boh
- 500 ml air
- 1 sudu besar sos tomato
- 1 sudu besar sos tiram
- 1/2 paket perencah mi segera
- Udang dan sotong secukupnya
- Sawi secukupnya
- Tomato secukupnya
- Sedikit kicap
- Garam secukup rasa (jika perlu)
Cara-cara penyediaan:
- Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih dan cili kisar sehingga naik bau.
- Selepas bahan tumisan pecah minyak, masukkan sedikit air dan kacau rata.
- Masukkan sos tomato, sos tiram dan baki air sebanyak 500 ml. Biarkan kuah mendidih.
- Masukkan 1/2 paket serbuk perencah mi segera kari. Sebelum masukkan mi, rasa dahulu kuah untuk pastikan tahap kemasinan mengikut citarasa. Jika kurang masin, boleh tambah sedikit garam atau perencah.
- Masukkan udang dan sotong. Apabila kuah kembali mendidih, masukkan mi segera sebanyak 2 pek.
- Biarkan mi masak lebih kurang seminit, kemudian masukkan sawi dan tomato supaya sayur kekal segar dan tidak terlalu layu.
- Tambahkan sedikit kicap untuk memberikan warna yang lebih gelap dan rasa yang lebih sedap.
- Kacau semua bahan sehingga sebati dan mee segera goreng seafood siap untuk dihidangkan.
Sumber: Nor Farah Atika
Baca juga: Resipi Mi Goreng Daging Basah Yang Disukai Ramai, Ini Cara Nak Bagi Rasa Lebih Padu
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














