
Cara buat cili kering kisar tahan lama sebenarnya sangat penting untuk memudahkan kerja memasak harian di dapur. Kalau setiap kali nak masak kena rendam dan kisar cili, memang makan masa. Sebab itu ramai yang suka buat stok siap-siap, lebih praktikal dan jimat tenaga.
Dalam rutin harian yang sibuk, terutama bagi yang bekerja atau ada anak kecil, cili kisar memang antara bahan wajib ada dalam peti ais. Bila nak masak sambal, tumis atau apa sahaja hidangan berempah, terus ceduk dan guna saja. Tak perlu fikir panjang.
Menariknya, ada teknik yang betul untuk pastikan cili kisar tahan lama tanpa berkulat atau rosak. Dengan jaga kebersihan dan ikut langkah yang betul, cili kisar boleh tahan berbulan-bulan dalam chiller dan kekal segar sampai habis digunakan.
Baca juga: Udang Masak Sambal Nampak Kecut? Chef Ini Kongsi Petua Siang Supaya Nampak ‘Gemuk’ & Cantik!
CARA BUAT CILI KERING KISAR TAHAN LAMA BERBULAN-BULAN

Bahan-bahan:
- Cili kering (ikut keperluan)
- Bawang merah (secukupnya)
- Bawang putih (secukupnya)
- Garam kasar (anggaran 1/2 hingga 1 sudu)
- Minyak masak
- Air bersih (air tapis/mineral)
Cara-cara penyediaan:
- Gunting cili kering untuk keluarkan biji. Ini memudahkan proses mencuci dan mengurangkan rasa pahit.
- Basuh cili kering di bawah air paip sambil diramas perlahan-lahan. Ulang bilasan sebanyak 4 hingga 5 kali sehingga air tidak lagi terlalu keruh. Buang biji yang terkeluar.
- Untuk bilasan terakhir, gunakan air bersih (air tapis atau mineral) tanpa perlu meramas cili.
- Masukkan cili ke dalam periuk dan rebus dengan air bersih sehingga cili menjadi lembut.
- Sementara menunggu cili lembut, kupas bawang merah dan bawang putih. Basuh bersih dan potong kecil untuk memudahkan proses kisar.
- Setelah cili lembut, buang air rebusan dan bilas sekali lagi dengan air bersih untuk menyejukkan cili. Tapis hingga kering.
- Masukkan cili bersama bawang ke dalam pengisar.
- Tambahkan garam kasar. Garam membantu melambatkan pertumbuhan bakteria.
- Masukkan minyak masak dan sedikit air. Nisbah boleh ikut kesesuaian, sama ada separuh minyak separuh air atau lebihkan minyak untuk ketahanan lebih lama.
- Kisar sehingga halus dan mencapai tekstur yang diingini.
- Tuang cili kisar ke dalam bekas kedap udara yang bersih dan kering.
Cili kisar yang dihasilkan dengan cara ini boleh tahan lama dalam peti ais tanpa berkulat, asalkan kebersihan dijaga dari awal hingga akhir. Pastikan juga setiap kali mengambil cili kisar, gunakan sudu yang bersih dan kering untuk elakkan pencemaran.
Dengan teknik mudah ini, kerja memasak jadi lebih cepat dan teratur. Sekali buat, boleh guna untuk pelbagai hidangan harian tanpa risau cili cepat rosak. Selamat mencuba!
Sumber: Thread @sheerospanks
Baca juga: Cara Rebus Sagu Supaya Jernih Sempurna & Tak Melekat, Baru Jadi Cantik Macam Mutiara
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














