Resipi kurma telur ini sedikit unik kerana telur direbus dan kemudian digoreng sebelum dimasukkan ke dalam kuah kurma. Ini menghasilkan tekstur telur yang lebih menarik dan kuah yang pekat dan kaya rasa.
Hidangkan kurma telur ini boleh dinikmati panas-panas bersama nasi serta sambal belacan. Dengan kuah yang pekat dan rasa rempah yang menyerap ke dalam telur, hidangan ini pasti memuaskan selera anda dan keluarga.
Jom lihat resipi lengkap di bawah.
Baca lagi: Wanita Ini Kongsi Resipi Nugget Ayam Homemade, Tanpa Kukus Tapi Terbentuk Elok!
RESIPI KURMA TELUR
Bahan-Bahan:
- 10 biji telur (direbus dan digoreng)
- 1 biji bawang besar (dihiris)
- 5 ulas bawang putih (dihiris)
- 1 inci halia (dihiris)
- 1 tangkai daun kari
- 1 batang kulit kayu manis
- 3 bunga lawang
- 4-5 biji kacang gajus (boleh gantikan dengan 1 biji buah keras jika tiada)
- 1 biji tomato (dihiris kasar)
- 2 sudu besar udang kering yang ditumbuk halus
- 4-5 sudu besar serbuk rempah kurma
- ½ sudu kecil serbuk kunyit
- Sedikit air
- 1-2 biji kentang atau lobak merah (dipotong sederhana)
- 1 biji bawang Holland (dipotong besar)
- 1 kotak kecil santan
- ½ sudu besar kerisik
- Garam, sedikit gula, dan perasa secukupnya
- Minyak secukupnya untuk menumis
Cara-cara:
1. Rebus telur hingga masak, kemudian goreng telur tersebut hingga keperangan. Ini memberikan tekstur lebih sedap apabila dimasukkan dalam kuah kurma.
2. Panaskan minyak dalam kuali yang sama, jangan terlalu kedekut dengan minyak pada tahap ini supaya rempah masak dengan sempurna.
3. Tumis bahan penumis: daun kari, kulit kayu manis, bunga lawang, dan kacang gajus (atau buah keras). Masukkan sekali bahan hirisan seperti bawang besar, bawang putih, halia, dan tomato. Tumis hingga naik bau dan bahan-bahan menjadi kekuningan.
4. Masukkan 2 sudu besar udang kering yang ditumbuk halus. Tumis hingga harum.
5. Masukkan serbuk rempah kurma dan serbuk kunyit. Gaul rata dan tambahkan sedikit air. Masak rempah hingga pecah minyak untuk rasa kurma yang mantap dan pekat. Ulangi proses ini dua kali dengan menambah sedikit air jika perlu.
6. Masukkan sayur-sayuran seperti kentang atau lobak merah dan masak hingga empuk. Kemudian, tambahkan bawang Holland yang dipotong besar.
7. Tuangkan santan dan tambahkan air jika ingin kuah yang lebih banyak. Sesuaikan kepekatan kuah mengikut selera; mak saya suka kurma pekat jadi air ditambah sedikit sahaja.
8. Setelah kuah mendidih, masukkan telur yang telah digoreng dan biarkan mendidih seketika untuk membiarkan kuah menyerap ke dalam telur.
9. Akhir sekali, masukkan kerisik untuk menambah aroma dan kekayaan rasa. Tambahkan garam, gula, dan perasa secukupnya. Gaul rata, dan matikan api.
Selamat mencuba!
Sumber: Syalfarina Razali
Baca lagi: Terung Tumis Kicap Manis Bersama Tauhu Telur, Licin Pinggan Makan