resipi kuih apam nasi

Pagi-pagi kadang-kadang pening juga kepala nak fikir menu sarapan untuk keluarga. Nak beli di luar hari-hari, boleh ‘koyak’ juga poket dibuatnya. Kalau perasan ada baki nasi semalam dalam periuk, jangan buang dulu tahu! Apa kata kita tukarkan nasi lebihan itu jadi hidangan sarapan atau minum petang yang padu dengan resipi kuih apam nasi yang super senang ini.

Sebenarnya, nak buat kuih tradisional ini tak serumit yang disangka. Tak perlu kemahiran membakar yang tinggi atau alat elektrik dapur yang canggih pun. Teksturnya yang lembut, gebu dan sedikit kenyal pasti buat sesiapa sahaja terpikat, terutamanya anak-anak yang memang sukakan makanan berwarna-warni.

Menariknya, apam nasi ini sangat fleksibel ikut selera masing-masing. Kebiasaannya, ramai yang suka layan apam ini bersama kelapa parut muda yang digaul sedikit garam. Tapi, kalau anda jenis yang tak gemar kelapa, makan begitu sahaja pun dah cukup sedap dan secukup rasa manisnya. Jom kita tengok bahan-bahan dan cara penyediaannya di bawah!

Baca juga: Resipi Kuih Ketayap Gebu & Wangi Pandan, Guna Sukatan Cawan Saja Senang Nak Ikut!

RESIPI KUIH APAM NASI SUKATAN CAWAN

resipi kuih apam nasi

Bahan A (untuk sikisar):

  • 1 cawan nasi sejuk
  • 1 cawan gula pasir
  • 1 cawan air bersih

Bahan B (bahan kering):

  • 1 cawan tepung gandum
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 paket yis segera/mauripan (11 gram)
  • Pewarna makanan pilihan anda (contoh: merah, hijau, kuning)

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan nasi, gula dan air ke dalam mesin pengisar (blender). Kisar semua bahan ini sehingga betul-betul halus dan tidak ada lagi butiran nasi yang berbiji.
  2. Dalam sebuah mangkuk besar, satukan tepung gandum, tepung beras dan yis segera (Bahan B). Gaul rata seketika.
  3. Tuangkan Bahan A yang telah dikisar tadi ke dalam mangkuk Bahan B. Kacau sehingga semuanya sebati dan tidak berketul.
  4. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian mengikut warna yang anda suka. Titiskan sedikit pewarna makanan dan kacau rata.
  5. Tutup mangkuk adunan (boleh guna plastic wrap atau kain bersih) dan biarkan ia diperap selama lebih kurang 1 jam sehingga adunan berbuih dan kembang dua kali ganda.
  6. Panaskan pengukus terlebih dahulu sehingga air mendidih. Sapukan sedikit minyak pada acuan cup kecil supaya apam tak melekat. Tuang adunan ke dalam cup sehingga hampir penuh.
  7. Kukus apam tadi selama 20 hingga 25 minit menggunakan api sederhana kuat. Pastikan balut penutup pengukus dengan kain bersih supaya air wap tidak tumpah atas apam.

Selepas siap dikukus, biarkan kuih apam sejuk seketika sebelum dikeluarkan daripada acuan. Jika suka, anda boleh hidangkan bersama kelapa parut muda yang telah dikukus seketika dengan sedikit garam. Mudah sangat kan? Selepas ini kalau ada nasi lebih, tak ada istilah membazir lagi.

Sumber: Norliyana Rosli

Baca juga: Resipi Kuih Sopang Negeri Sembilan, Ini Teknik Kukus Supaya Cantik & Tak Pecah

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN