Pasti ramai yang sudah biasa masak ikan siakap stim limau kan? Kali ini Myresipi nak kongsikan pula Resipi Ikan Kukus Aiskrim Soda yang boleh anda cuba di rumah.
Resipi ini mungkin kelihatan pelik kerana menggunakan aiskrim soda tapi sebenarnya rasa menu ini boleh tahan sedap juga. Jangan pandang sebelah mata, belum cuba belum tahu ya!
Cara penyediaannya lebih kurang sama seperti ikan siakap stim limau, apa yang berbeza adalah penggunaan aiskrim soda F&N di dalam bahan sos yang akan dicurahkan ke atas ikan yang siap dikukus nanti.
Jom kita sama-sama cuba! Lihat resipi lengkap di bawah.
Baca juga: Resipi Aiskrim Soda Sakura, Kombinasi Yang Masam-Masam Manis
Resipi Ikan Kukus Aiskrim Soda
Bahan-bahan:
- 1 kg siakap – dibersihkan
- 1 batang serai – ditumbuk
- 2 keping halia – dihiriskan
Bahan-bahan sos:
- 120ml aiskrim soda F&N
- 2 sudu besar jus limau
- 2 sudu besar sos ikan
- 5 ulas bawang putih – dicincang
- 2 batang cili padi – dihiriskan
- 30g daun ketumbar – dicincang
- 2 batang serai – dihiriskan
- 2 sudu kecil gula
Cara memasak:
1. Cuci bersih ikan siakap. Letak ikan atas pinggan. Isikan serai dan hirisan halia ke dalam perut ikan.
2. Kemudian kukus ikan selama 15 minit.
3. Dalam periuk, masukkan bahan-bahan untuk sos kecuali daun ketumbar. Masak selama 5 minit. Kemudian baru masukkan daun ketumbar yang sudah dicincang, kacau rata.
4. Selepas ikan masak, buangkan air di dalam pinggan. Kemudian tuangkan sos di atas ikan.
5. Sedia untuk dinikmati. Selamat mencuba!
Baca juga: Resipi Air Asam Paling Sedap, Cicah Ikan Bakar Memang Terangkat!