Resipi apam mekar yang dikongsikan hari ini adalah tanpa menggunakan air soda namun tetap menghasilkan tekstur apam yang lembut, kembang, dan gebu.
Resipi ini juga disertai dengan beberapa tips penting untuk memastikan apam mekar dengan sempurna. Apabila sudah siap, apam akan menghasilkan lebih kurang 23 biji bergantung kepada saiz cawan yang digunakan.
Jom lihat resipi penuh di bawah ini.
Baca lagi: Resipi Bengkang Pandan, Ikut Versi ini Lebih Lembut Dan Wangi
RESIPI APAM MEKAR
Bahan-Bahan Apam Mekar
- 250g tepung gandum (lebih kurang 2 cawan)
- 200g gula pasir (lebih kurang 1 cawan)
- 130ml susu penuh krim (lebih kurang ¾ cawan) atau boleh gantikan dengan susu cair, santan cair, atau air
- 2 biji telur gred A
- 1 sudu teh ovalette
- ½ sudu teh serbuk vanila atau esen vanila
- Pewarna merah secukupnya
- Bijan hitam secukupnya
Cara Penyediaan Apam Mekar
1. Satukan semua bahan kecuali pewarna dan bijan hitam ke dalam mangkuk besar.
2. Dengan menggunakan kelajuan tinggi, pukul adunan selama 10 minit sehingga teksturnya berubah menjadi gebu dan berwarna putih.
3. Bahagikan adunan kepada dua bahagian. Bahagian putih lebih banyak daripada bahagian yang akan diwarnakan merah.
4. Campurkan bijan hitam ke dalam adunan putih, kemudian masukkan adunan ke dalam piping bag.
5. Letakkan cawan kertas dalam acuan apam bersaiz sedang, picit adunan putih hingga hampir penuh, kemudian picit pula adunan merah hingga memenuhi cawan.
6. Isi air dalam pengukus (sekitar 1½ ruas jari) dan panaskan hingga betul-betul mendidih. Kukus apam selama 10 minit dengan api yang paling besar. Jangan buka penutup sehingga cukup masa supaya apam mekar dengan sempurna.
Tips penting untuk apam mekar yang gebu:
- Kembang dan Gebu: Pastikan adunan dipukul hingga kembang dan gebu, ini membantu apam untuk mekar dengan baik.
- Pengukus: Pastikan air dalam pengukus tidak terlalu banyak, cukup sekadar 1½ ruas jari sahaja.
- Suhu Air: Pastikan air pengukus benar-benar mendidih sebelum memasukkan apam.
- Jarak Acuan: Jangan letakkan acuan terlalu dekat antara satu sama lain untuk membolehkan apam kembang secara rata.
- Acuan Luas: Gunakan acuan dengan permukaan yang agak luas, ini membantu apam untuk mekar cantik.
- Kukus Api Besar: Kukus apam dengan api paling besar dan jangan buka penutup sehingga apam betul-betul masak dalam tempoh yang disarankan.
Selamat mencuba!
Sumber: Puan Eha
Baca lagi: Resepi Donat Kampung Tanpa Telur, ‘Debab’ Macam Pelampung!