resepi paella

Sempena kemenangan Sepanyol pada Piala Dunia 2026, MyResipi nak kongsikan resepi paella yang menjadi antara hidangan paling terkenal dari negara itu. Paella bukan sekadar nasi biasa, tetapi hidangan istimewa yang dimasak bersama makanan laut, ayam, sayuran dan rempah saffron yang memberikan aroma serta warna menarik.

Bagi yang belum pernah cuba, paella merupakan makanan tradisional Sepanyol yang biasanya dimasak menggunakan kuali leper khas yang dipanggil paellera. Teksturnya berbeza daripada nasi biasa kerana beras dimasak perlahan-lahan sehingga menyerap semua rasa daripada bahan-bahan yang dimasukkan.

Kini ramai yang mula mencuba menu luar negara di rumah kerana bahannya boleh didapati dengan mudah di pasar raya. Dengan gabungan udang, lala, ayam dan kacang peas, hidangan ini memang nampak meriah dan sesuai dijadikan menu istimewa bersama keluarga.

Baca juga: Resipi Churros Rangup Di Luar & Lembut Di Dalam, Letak ‘Ini’ Kalau Nak Lagi Gebu!

RESEPI PAELLA (MAKANAN BERASAL DARI SEPANYOL)

resepi paella

Bahan yang dipotong dadu/segi empat:

  • 1 biji lada benggala
  • 1 biji bawang besar
  • Ayam secukupnya (boleh guna bahagian yang disukai)

Bahan lain:

  • Makanan laut mengikut pilihan (udang, clam, lala dan sebagainya)
  • 4 pot beras (basuh dan toskan)
  • Kacang peas secukupnya (boleh guna yang frozen)
  • Secubit saffron/zafran
  • 5 sudu besar minyak zaitun (olive oil)
  • ½ biji lemon
  • 2 kiub pati ayam
  • Air secukupnya
  • Garam secukup rasa

Nota: Untuk hasil paella yang lebih menjadi, gunakan kuali jenis frying pan yang agak dalam. Elakkan guna periuk biasa kerana tekstur dan cara masak paella akan berbeza.

Cara-cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak zaitun dalam kuali. Masukkan udang terlebih dahulu dan balik-balikkan sehingga berubah warna menjadi merah. Angkat udang dan ketepikan.
  2. Dalam minyak yang sama, masukkan bawang besar yang telah dipotong dadu. Tumis sehingga bawang layu dan naik bau.
  3. Masukkan ayam serta lada benggala. Perasakan dengan sedikit garam dan masukkan secubit saffron. Masak sehingga lada benggala menjadi lembut.
  4. Masukkan beras yang telah dibasuh dan ditoskan. Kacau sekejap supaya beras bersalut dengan bahan tumisan.
  5. Masukkan 2 kiub pati ayam dan kacau sehingga larut. Kemudian tuangkan air secukupnya.
  6. Masak menggunakan api sederhana perlahan. Jangan tutup kuali terlebih dahulu. Pastikan api tidak terlalu kuat atau terlalu perlahan supaya nasi masak sekata.
  7. Apabila air mula mendidih, periksa nasi setiap beberapa minit. Jika beras masih keras, tambahkan sedikit air sehingga nasi hampir masak.
  8. Bila nasi sudah hampir masak, susun kembali makanan laut seperti udang, lala atau clam di atas nasi. Taburkan kacang peas di sekeliling makanan laut sebagai hiasan.
  9. Tutup kuali dan kecilkan api ke tahap paling perlahan. Biarkan makanan laut masak sehingga lala atau clam mula terbuka.
  10. Selepas semua makanan laut masak, perahkan jus lemon supaya rasa paella lebih segar. Tutup kembali kuali dan masak lagi kira-kira 5 minit sebelum dihidangkan.

Jika ada lala atau clam yang tidak terbuka selepas dimasak, buangkan sahaja dan jangan dimakan. Pilih makanan laut yang terbuka kerana itu tanda ia selamat untuk dinikmati. Paella yang siap dimasak akan menghasilkan nasi yang penuh rasa, wangi dengan aroma saffron dan minyak zaitun, serta kaya dengan rasa makanan laut. Memang sesuai dicuba untuk raikan momen istimewa bersama keluarga.

Sumber: Amira Izzatie

Baca juga: Resepi Dumpling Lasagna Viral TikTok, Rupanya Mudah Buat Di Rumah Tanpa Oven

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN