Sebuah premis makanan di Kulim, Kedah diarahkan tutup selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya tidak memuaskan, termasuk penemuan najis tikus di dalam premis. Premis berkenaan disyaki menjalankan perniagaan menerusi platform penghantaran makanan dalam talian.
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa premis tersebut hanya mencatat markah kebersihan sebanyak 37.5 peratus ketika pemeriksaan dijalankan.
Baca juga: Kilang Lee Biscuits Di Pontian Henti Operasi Selepas 92 Tahun, Jenama Legenda Sejak 1934
Premis Makanan Di Kulim Ditemui Kotor, Najis Tikus Jadi Perhatian

Antara masalah yang dikesan termasuk lantai, dinding dan peralatan yang kotor, kehadiran lalat serta penemuan najis tikus di dalam premis berkenaan.
“JKN Kedah telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengarahkan premis tersebut ditutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 berkuat kuasa mulai 26 Oktober 2026.
“Satu notis kompaun turut dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” menurut kenyataan berkenaan.
JKN Kedah turut mengesahkan pihaknya mengambil maklum aduan yang tular di media sosial dan dipercayai dikongsikan oleh seorang penghantar makanan. Aduan itu membangkitkan kebimbangan mengenai tahap kebersihan premis yang disyaki beroperasi melalui platform penghantaran makanan dalam talian.
Susulan aduan tersebut, pemeriksaan telah dijalankan pada 26 Oktober 2026. Hasil pemeriksaan mendapati dakwaan yang dikemukakan adalah berasas.
“Jabatan ini memandang serius sebarang pelanggaran keperluan kebersihan dan keselamatan makanan.
“Semua pengusaha makanan diingatkan supaya sentiasa memastikan premis berada dalam keadaan bersih, melaksanakan kawalan makhluk perosak, mengurus sisa makanan dengan sempurna serta mematuhi semua keperluan perundangan berkaitan keselamatan makanan yang berkuat kuasa,” katanya.
Pengusaha Makanan Diingatkan Patuhi Aspek Kebersihan
Dalam pada itu, JKN Kedah menegaskan bahawa platform penghantaran makanan dalam talian turut memainkan peranan penting dalam memastikan makanan yang dijual kepada pengguna memenuhi aspek keselamatan.
Menurut jabatan itu, syarikat yang mengendalikan platform berkenaan disaran memperketat kawalan dalaman, termasuk memastikan setiap premis yang disenaraikan mematuhi syarat pelesenan dan keperluan perundangan berkaitan.
“Kerjasama platform penghantaran makanan dalam talian untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap premis yang gagal mematuhi aspek keselamatan dan kebersihan makanan, termasuk mempertimbangkan penyahsenaraian, dapat membantu melindungi kesihatan dan keselamatan pengguna,” katanya.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya memilih premis makanan yang bersih dan selamat. Sebarang aduan berkaitan kebersihan serta keselamatan makanan boleh disalurkan melalui saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sumber: Sinar Harian
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

