KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd merekodkan keuntungan bersih RM5.2 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, meningkat 26 peratus daripada RM4.2 juta pada suku sama tahun lalu (1QFY21).
Bagaimanapun, perolehan kumpulan menyusut sedikit sebanyak 3.0 peratus kepada RM247.5 juta berbanding RM254.5 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.
Menurut syarikat media bersepadu itu dalam kenyataan hari ini, pendapatan Media Prima dibantu dengan peningkatan sebanyak 14 peratus dari perolehan pengiklanan, iaitu kepada RM174.4 juta bagi tempoh dikaji berbanding dengan RM152.3 juta pada 1QFY21.
Katanya, perkhidmatan pengiklanan kumpulan dipacu oleh Media Prima Omnia (Omnia), dengan strategi bersepadu yang memanfaatkan jenama-jenama popular Media Prima dan capaian yang tinggi, yang merentas pelbagai platform media.
“Perolehan pengiklanan dari keseluruhan segmen perniagaan kumpulan bertambah baik hasil sumbangan yang tinggi dari perniagaan penyiaran kumpulan,” katanya.
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid, berkata pihaknya amat berpuas hati dengan pencapaian bagi 1QFY22.
“Pencapaian ini telah disokong oleh hasil sumbangan perolehan pengiklanan yang amat tinggi merentas semua segmen perniagaan, menunjukkan bahawa kita telah mewujudkan strategi dan pasukan jualan yang berdaya saing di bawah Omnia.
“Kumpulan percaya dan yakin bahawa Omnia akan mendapat manfaat dari pembukaan semula ekonomi yang telah mendorong para pengiklan meningkatkan perbelanjaan pengiklanan mereka.
“Kita juga amat gembira dengan prestasi segmen penyiaran dan digital yang telah menyumbang dengan ketara kepada pendapatan keseluruhan kumpulan ini. Semua ini memberikan kita keyakinan bahawa kita sedang berada di posisi yang lebih kuat untuk memberi lebih banyak lagi sebagai syarikat media bersepadu,” katanya.
Tambah beliau, tanpa keadaan yang tidak dijangka, kumpulan kekal optimistik untuk prestasi pada suku-suku yang akan datang dan akan beriltizam untuk terus memberikan perkhidmatan yang luar biasa kepada semua pihak berkepentingan.
Sementara itu Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, berkata kumpulan melangkah ke tahun 2022 dengan mencatatkan keuntungan pada suku pertama berikutan dengan prestasi positif pada tahun 2021, walaupun tempoh tinjauan ini merupakan tempoh yang secara amnya mencabar dari aspek kewangan.
“Ini membuktikan bahawa kumpulan akan kekal berdaya tahan walaupun dengan landskap media yang sering berubah dengan pantas. Namun begitu, dengan peningkatan cabaran dan persaingan akan terus berkembang, kita akan terus menyesuaikan dan melakukan pembaharuan untuk memastikan Media
Prima dapat memberikan yang terbaik kepada pengiklan, dan kepada 98 peratus isi rumah rakyat Malaysia yang kita santuni.
“Ini termasuk memposisikan semula perniagaan perdagangan kita untuk memanfaatkan semua kekuatan kita sebagai syarikat media bersepadu. Kami akan terus memanfaatkan semua platform media dan semua data yang sedia ada merentas perniagaan kami untuk memberikan pengalaman yang lebih baik untuk tiga juta pelanggan WOWSHOP.
“Sebagai pengeluar kandungan terbesar, kita akan terus menitikberatkan penciptaan kandungan, untuk memenuhi permintaan kandungan tempatan dari perkhidmatan penstriman global. Melangkah ke hadapan, matlamat kami adalah untuk mewujudkan lebih banyak sinergi di seluruh perniagaan kami untuk menampilkan nilai kami sebagai kumpulan media bersepadu terkemuka di Malaysia,” kataya.