makanan kanak kanak

Makanan kanak kanak bukan sahaja perlu berkhasiat, malah perlu disediakan dengan cara yang betul bagi mengurangkan risiko tercekik ketika makan. Ada beberapa jenis makanan yang kelihatan biasa, tetapi boleh menjadi berbahaya jika diberikan dalam bentuk asal kepada anak kecil.

Ramai ibu bapa memberi tumpuan kepada pemakanan sihat, namun tidak semua sedar bahawa cara memotong dan menghidangkan makanan juga memainkan peranan penting dalam keselamatan anak. Langkah yang mudah boleh membantu mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Baca juga: Pokok Liar Yang Selalu Disangka Semak Ini Sebenarnya Boleh Dimakan, Ini 17 Jenisnya

MAKANAN KANAK KANAK YANG TAK BOLEH DIBERI DALAM BENTUK ASAL

Berikut ialah 10 jenis makanan yang disarankan supaya dipotong atau disediakan dengan cara yang lebih selamat sebelum diberikan kepada kanak-kanak.

1. Anggur

makanan kanak kanak

Anggur sering dianggap sebagai snek yang sihat, namun bentuknya yang bulat, licin dan hampir sama saiz dengan saluran pernafasan kanak-kanak boleh menyebabkan risiko tercekik jika ditelan bulat-bulat.

Potong anggur memanjang kepada empat bahagian sebelum diberikan kepada anak. Elakkan hanya membelah dua kerana saiznya masih boleh menyumbat saluran pernafasan.

2. Sosej

Sosej yang dipotong bulat juga boleh menjadi punca anak tercekik kerana bentuknya mudah menyekat saluran pernafasan.

Cara yang lebih selamat ialah memotong sosej secara memanjang terlebih dahulu sebelum dipotong kepada kepingan kecil.

3. Gula-gula Keras dan Gula-gula Kenyal

Gula-gula keras boleh tersekat di kerongkong, manakala gula-gula kenyal pula sukar dikunyah dengan sempurna oleh kanak-kanak kecil.

Sebaiknya elakkan pemberian gula-gula kepada anak kecil sehingga mereka benar-benar mampu mengunyah dan menelan dengan baik.

4. Kacang dan Biji-Bijian

makanan kanak kanak

Kacang tanah, badam, gajus dan pelbagai jenis biji-bijian mempunyai risiko tinggi menyebabkan tercekik kerana saiznya yang kecil tetapi keras.

Jika ingin memperkenalkan makanan berasaskan kacang, pilih bentuk yang sesuai mengikut umur anak.

5. Bertih Jagung (Popcorn)

Walaupun ringan, bertih jagung mudah memasuki saluran pernafasan apabila anak ketawa, bercakap atau bergerak ketika makan.

Kulit keras pada biji jagung juga sukar dikunyah oleh kanak-kanak kecil.

6. Marshmallow

Marshmallow mempunyai tekstur lembut tetapi sangat melekit.

Jika tersekat di kerongkong, ia boleh menjadi sukar dikeluarkan dan menyebabkan saluran pernafasan tersumbat.

7. Bebola Ikan atau Bebola Daging

Bebola ikan dan bebola daging yang bersaiz besar tidak sesuai diberikan secara terus kepada anak kecil.

Potong kepada beberapa bahagian kecil supaya lebih mudah dikunyah dan ditelan.

8. Ketulan Epal, Lobak dan Daging Yang Keras

Ketulan epal mentah, lobak merah serta daging yang keras memerlukan kunyahan yang baik.

Lebih selamat jika dipotong nipis, diparut atau dimasak sehingga lembut sebelum diberikan kepada anak.

9. Mentega Kacang

Memberikan sesudu besar mentega kacang boleh menyebabkan anak sukar menelan kerana teksturnya yang pekat dan melekit.

Sapukan dalam lapisan nipis pada roti atau campurkan ke dalam makanan lain.

10. Chewing Gum

Kanak-kanak kecil belum mempunyai kemahiran mengunyah gula-gula getah tanpa menelannya.

Oleh sebab itu, chewing gum tidak sesuai diberikan kepada anak kecil.

Cara Kurangkan Risiko Anak Tercekik Ketika Makan

Selain memilih makanan kanak kanak yang sesuai, ibu bapa juga digalakkan mengamalkan langkah berikut:

  • Potong makanan kepada saiz kecil dan bentuk yang lebih selamat.
  • Pastikan anak duduk ketika makan.
  • Elakkan anak makan sambil berlari, bermain atau ketawa.
  • Awasi anak sepanjang waktu makan.
  • Galakkan anak mengunyah makanan sehingga lumat sebelum menelan.

Apa Perlu Dilakukan Jika Anak Tercekik?

Jika anak masih mampu batuk dengan kuat, galakkan mereka terus batuk kerana ia membantu mengeluarkan objek yang tersekat.

Sekiranya anak tidak boleh bernafas, bercakap, menangis atau batuk, anggap saluran pernafasannya tersumbat sepenuhnya. Hubungi 999 dengan segera dan lakukan bantuan kecemasan mengikut umur anak jika anda mengetahui teknik yang betul.

Elakkan mengorek mulut anak secara membuta tuli kerana objek mungkin akan tertolak lebih jauh ke dalam saluran pernafasan.

Memilih makanan kanak kanak yang berkhasiat sahaja tidak mencukupi jika cara penyediaannya tidak diberi perhatian. Makanan seperti anggur, sosej, bertih jagung dan bebola daging perlu dipotong atau diubah bentuk terlebih dahulu sebelum diberikan kepada anak kecil.

Dengan langkah yang mudah seperti memotong makanan mengikut saiz yang sesuai, memastikan anak duduk ketika makan dan mengawasi setiap suapan, ibu bapa dapat membantu mengurangkan risiko tercekik serta memastikan waktu makan menjadi lebih selamat.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Public Health Malaysia

Baca juga: 10 Barang INI Dilarang Letak Atas Peti Sejuk, Ramai Tak Sedar Risiko Besar Pada Keselamatan Dapur

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Popular

Artikel Popular

Video Terkini

Restoran Pilihan JJCM

Laura Medina Cafe

Menyajikan "world menu", antaranya sajian Barat, Korea dan tempatan.

Mari Makan

Menyediakan pelbagai masakan Barat dan tempatan.

Restoran Gegey (Shah Alam)

Mula beroperasi sejak tahun 2016, Restoran Gegey menawarkan lima jenis hidangan nasi pada harga dibawah RM8.00!

RESTORAN PILIHAN