Memandangkan ramai pengemar kuih lepat labu sehingga hari ini, apa kata kita ikuti satu perkongsian resipi lepat labu inti kelapa disini.
Mesti korang teruja dengan hasilnya. Bolehlah dijadikan sajian minum petang anda sekeluarga.
Lepat labu merupakan kuih tradisional yang dibalut kemas menggunakan daun pisang. Ianya mempunyai pelbagai variasi dari segi bahan, rasa dan warna.
Baca juga: Cara Buat Lepat Boko Ubi Kayu Yang Sedap, Peniaga Ini Kongsi Resipinya
Lepat labu yang dikongsikan hari ini akan menggunakan warna kuning asli dari labu kuning tanpa bahan pewarna.
Resipi lepat labu inti kelapa ini telah dikongsikan oleh Asma Mohamed melalui perkongsiannya di laman Facebook. Kalau dah bosan nak makan kuih bergoreng tu, bolehlah cuba kuih kukus pula.
RESIPI KUIH LEPAT LABU INTI KELAPA
Bahan Lepat:
- 1 cawan labu (rebus labu hingga lembut, kemudian baru disukat)
- 1 cawan tepung gandum
- 2 sudu makan tepung ubi kayu
- 3 1/2 sudu makan gula
- Secubit garam
- Santan pekat (jumlah agak-agak supaya adunan tidak cair dan tidak terlalu pekat)
- Daun pisang secukupnya (dibersihkan dan dilayur)
Bahan Inti:
- Kelapa parut putih sahaja
- Manisan/ gula melaka secukupnya
- Sedikit air
- Secubit garam
- 1-2 helai daun pandan
Cara penyediaan:
1. Sediakan inti terlebih dahulu. Satukan semua bahan inti dan masak sehingga manisan atau gula melaka larut. Tekstur inti paling sedap ialah bila ia agak lembab dan tidak kering.
2. Untuk adunan lepat pula, satukan semua bahan dan adun hingga sebati.
3. Untuk membungkus lepat, ambil daun pisang yang telah dipotong dan dilayur tadi. Masukkan 2 sudu makan adunan lepat dan letak atas daun pisang.
4. Seterusnya, ambil 1 sudu teh inti. Balut daun pisang dengan kemas. Lakukan hingga habis semua adunan.
5. Panaskan periuk kukusan dan susun kuih lepat tadi. Kukus selama 25 minit atau hingga masak. Sedia untuk dimakan.
Kalau nak buat minum petang lepas ni, search je resipi kuih-muih kesukaan korang dekat portal ini.
Semoga resepi kuih lepat labu inti kelapa ini bermanfaat buat kita semua. Selamat mencuba!
Baca juga: Pulut Dakap Pisang Macam Orang Lama, Kuih Warisan Melayu Pantai Timur