
Laksa merupakan antara hidangan ikonik yang melambangkan kepelbagaian budaya serta warisan kulinari di Malaysia. Setiap jenis laksa mempunyai identiti tersendiri, dipengaruhi oleh bahan tempatan, teknik masakan tradisional dan cita rasa masyarakat setempat mengikut negeri.
Hidangan berkuah ini dihasilkan daripada gabungan pelbagai bahan masakan, sekali gus menjadikan setiap laksa unik dari segi rasa, tekstur dan cara penyediaannya. Dari Utara Semenanjung Malaysia hingga ke Borneo, setiap negeri mempunyai versi laksa yang berbeza dan istimewa.
Sebagai contoh, asam laksa Pulau Pinang terkenal dengan penggunaan asam jawa dan nanas yang menghasilkan rasa masam segar serta seimbang. Laksam pula menggunakan kuah berasaskan santan yang lemak, manakala kepingan laksa diperbuat daripada campuran tepung beras dan tepung gandum.
Berbeza dengan itu, laksa Sarawak dimasak menggunakan pes rempah khas dan dihidangkan bersama tauge serta cendawan hitam sebagai pelengkap. Kepelbagaian inilah yang menjadikan laksa sebagai antara hidangan paling dikenali dan digemari di Malaysia.
Baca juga: Resipi Laksa Kedah Sedap, Ada Bahan Penting Yang Buat Kuah Pekat Likat, Berlemak Dan Wangi
Lelaki Singapura Cuba Masak Pelbagai Jenis Laksa Malaysia

Kepelbagaian jenis laksa di Malaysia turut menarik perhatian seorang lelaki warga Singapura untuk mencuba sendiri memasak hidangan ikonik ini. Menerusi video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya, lelaki berkenaan berkongsi proses penyediaan enam jenis laksa Malaysia lengkap dengan senarai bahan dan langkah memasak secara terperinci.
Apa yang mencuri perhatian, pencipta kandungan ini memilih untuk menggunakan kaedah tradisional yang kini jarang diamalkan. Antaranya termasuk memarut kelapa sendiri bagi mendapatkan santan segar, selain menggunakan lesung batu untuk menumbuk rempah laksa nyonya.
Bukan itu sahaja, beliau turut menyediakan laksam dari awal dengan mengadun adunan tepung sendiri sebelum dikukus, menunjukkan tahap kesungguhan dan penghargaan terhadap masakan tradisional Asia Tenggara.
Usaha tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada warga maya. Ramai yang memuji kesungguhan lelaki berkenaan, malah tidak kurang juga yang mencadangkan agar beliau mencuba jenis laksa lain yang tidak dipaparkan dalam video tersebut.

“Ada empat jenis laksa lagi yang tak ditunjukkan dalam video ini. Laksa gebuk dari Pahang, laksa Siam dari Pattani, laksa putih dan laksa merah dari Terengganu, serta laksa mi Pangkor dari Perak,” komen seorang pengguna.
Seorang lagi turut berkongsi, “Di Barat Jawa pula ada laksa Bogor, dari Bogor. Jaraknya kira-kira satu setengah jam dari Jakarta dan termasuk dalam kawasan metropolitan Jakarta.”
Malah, ada yang menyarankan agar siri video tersebut diteruskan memandangkan kepelbagaian laksa di Asia Tenggara masih luas untuk diterokai, termasuk laksa lemak dari Kelantan dan Terengganu, laksa kuale Perak, khanom jeen nam ya dari Thailand serta laksa dari Indonesia seperti laksa Medan dan laksa Tangerang.
Selain berkongsi resipi, pencipta kandungan ini turut menyelitkan kisah sejarah di sebalik penghasilan laksa katong, iaitu sejenis laksa lemak yang dipopularkan di Singapura, sekali gus menambah nilai edukasi dalam kandungan yang dihasilkan.
Sumber: The Analytical Cook
Baca juga: Resepi Laksa Siam Versi Kuah Pekat, Rasa Segar Berlemak Yang Luar Biasa!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














