Kurma campur mentega adalah makanan sunnah yang menjadi kegemaran Rasulullah yang sangat mengenyangkan. Walaupun tidak semua orang gemar memakan kurma, ia tetap merupakan makanan sunnah. Tetapi baru-baru ini, menjelang bulan Ramadan, kurma yang dimakan bersama mentega telah menjadi viral.
Mungkin kelihatan agak pelik kerana tidak biasa memakan kurma dengan mentega. Namun, ramai yang mengakui bahawa ia sangat sedap apabila dicampur dengan mentega.
Baca juga: Kesan Buruk Makan Gelojoh, Antara Sebab Berat Badan Bertambah
Perkongsian ini datang dari bekas Menteri Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam Maktabah Al-Bakri, yang mengatakan bahawa tamar (kurma kering) dimakan bersama mentega adalah makanan kegemaran Rasulullah SAW.
Dr. Zul menjelaskan bahawa dalam riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dari Abdullah ibn Busr dan Atiyyah ibn Busr, mereka menyatakan:
دخل علينا رسول الله صلى الله عليه وسلم «فقدمنا زبدا وتمرا وكان يحب الزبد والتمر»
“Rasulullah SAW telah masuk ke rumah kami. Lalu kami menyediakan mentega dan tamar. Baginda menyukai mentega dan tamar.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)
HAD KALORI KURMA CAMPUR MENTEGA
Dari segi kesihatan, pengambilan kurma dan mentega memang baik diambil ketika bersahur kerana ia sangat mengenyangkan. Kalori bagi sebiji kurma dan mentega yang diambil adalah sama:
- 1 biji kurma = 20 kalori
- 1 sudu besar mentega = 100 kalori
- Jumlah = 120 kalori
Ia hampir sama dengan separuh pinggan nasi kerana satu hidangan nasi sekitar 75 gram mengandungi sebanyak 100 kalori.
Namun, jangan sekali-kali mengambil kurma bersama marjerin kerana mentega (butter) dan marjerin adalah berbeza.
Mentega adalah salah satu produk tenusu, manakala marjerin yang biasa digunakan di rumah adalah makanan terproses yang dihasilkan untuk menyerupai dan mempunyai rasa yang sama dengan mentega.
Jika mentega dibuat dari tenusu, marjerin dibuat dari sumber tumbuhan iaitu minyak sayuran yang boleh menyumbatkan jantung jika diambil berlebihan.
Jadi, untuk bersahur atau berbuka, bolehlah mencuba kurma dicampur butter untuk kekal bertenaga dan lebih kenyang sepanjang hari jika ingin mengelakkan pengambilan nasi.
Tetapi, untuk mencapai bentuk badan yang ideal, hadkan pengambilan. Secara purata, setiap lelaki dan perempuan dewasa memerlukan jumlah kalori yang berikut:
- Lelaki: 2000 – 2500 kcal sehari
- Perempuan: 1600 – 2000 kcal sehari
Semoga bermanfaat.
Sumber: Twitter Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Baca juga: Elak 5 Makanan Ini Ketika Bersahur, Tak Sampai Separuh Hari Dah Lapar