Karipap spera adalah sajian tradisional yang hanya boleh dijumpai di kawasan utara seperti Kedah dan Perlis. Istimewanya, karipap ini diisi dengan inti kelapa pedas yang menyerupai inti cucur badak, memberikan rasa yang unik dan enak.
Bagi masyarakat Perlis, karipap spera sering dinikmati bersama laksa sekaligus menjadikannya hidangan yang cukup ikonik.
Jika anda belum mencuba, berikut adalah resipi untuk menghasilkan karipap spera dari kulit hingga ke intinya.
Baca lagi: Cara Buat Roti Sardin Bakar, Ragup & Pedas Berperisa Buat Anak Suka!
RESIPI KARIPAP SPERA
Bahan-bahan kulit karipap:
- 4 cawan tepung gandum
- 4 sudu besar tepung beras
- 1 sudu kecil garam
- ½ cawan minyak
- 2 sudu besar marjerin
- 1 sudu besar air kapur (gunakan air jernih di atas takungan kapur)
- 1 ½ cawan air sejuk ais (masukkan sedikit demi sedikit, tidak semestinya habis)
Cara penyediaan kulit karipap:
1. Dalam sebuah mangkuk besar, campurkan tepung gandum, tepung beras, dan garam.
2. Panaskan minyak dan marjerin sehingga cair, kemudian tuangkan ke dalam campuran tepung. Gaul rata menggunakan sudu sehingga menjadi serbuk roti kasar.
3. Masukkan air kapur ke dalam adunan, diikuti air sejuk sedikit demi sedikit. Uli hingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di tangan.
4. Biarkan doh rehat selama 30 minit sebelum digunakan.
Bahan-bahan inti kelapa pedas:
- 2 batang serai (dihiris halus)
- 1 biji bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 5-6 biji cili padi (jika suka pedas)
- ½ sudu kecil jintan manis
- ½ sudu kecil jintan putih
- 1 sudu besar udang kering (direndam dan ditumbuk)
- 1 senduk cili kisar
- 2 cawan kelapa parut (putih sahaja)
- 1-2 sudu kecil serbuk kunyit
- Garam dan gula secukup rasa (lebihkan gula untuk rasa seimbang)
Cara penyediaan inti:
1. Tumbuk halus serai, bawang besar, bawang putih, halia, cili padi, jintan manis, jintan putih, dan udang kering.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali dan tumis bahan tumbuk sehingga naik bau.
3. Masukkan cili kisar dan masak sehingga pecah minyak.
4. Tambahkan serbuk kunyit, kelapa parut, garam, dan gula. Gaul rata sehingga inti menjadi kering dan sekata.
5. Angkat dan biarkan sejuk sebelum digunakan sebagai inti.
Inti ini bukan sahaja sesuai untuk karipap spera, tetapi juga boleh digunakan untuk cucur badak atau pulut panggang.
Cara membuat karipap spera:
1. Ambil doh yang telah direhatkan dan canai nipis. Potong bulatan mengikut saiz yang diinginkan.
2. Letakkan satu sudu inti kelapa pedas di tengah doh.
3. Lipat doh menjadi separuh bulatan dan kelim hujungnya dengan kemas. (Jika tidak pandai kelim, tekan menggunakan garfu untuk menghasilkan tepi yang cantik.)
4. Panaskan minyak secukupnya dan goreng karipap dengan api sederhana sehingga keemasan.
5. Angkat dan toskan minyak.
Nota Tambahan:
- Gunakan kelapa parut segar untuk mendapatkan rasa terbaik.
- Pastikan doh tidak terlalu tebal agar karipap mudah digigit dan rangup.
- Jika tidak suka pedas, kurangkan jumlah cili padi dalam inti.
Sumber: Resepi Eny Abdullah
Baca lagi: Resipi Chicken Chop Homemade Yang Lengkap, Suami Bagi Markah Penuh!