Ikan masak lemak bercili ala Kapitan adalah gabungan santan, cili dan rempah ratus yang membuatkan kuah ini berlemak dan pedas. Sangat ideal dijadikan makan tengah hari.
Resipi ini boleh disesuaikan untuk pelbagai jenis protein seperti ayam, daging salai, udang, atau sotong. Namun, untuk kali ini, kita fokuskan kepada ikan.
Pilihan ikan yang paling sesuai adalah ikan yang kurang berduri seperti ikan talapia, keli, bawal, atau siakap. Tetapi, anda boleh gunakan ikan kegemaran anda.
Pastikan ikan hanya digoreng sedikit, tidak perlu sehingga garing, kerana ia akan dihidangkan bersama kuah lemak yang pekat.
Jom baca resipi penuh.
Baca lagi: Tepung Gandum Berketul Tapi Belum Expired? Ini Cara Agar Licin Semula
RESIPI IKAN MASAK LEMAK BERCILI
Bahan-Bahan Utama:
- Ikan pilihan anda (disyorkan ikan talapia, siakap, bawal, atau kembung)
- Goreng ikan tetapi tidak perlu garing
Bahan Kisar Kasar:
- 3 biji bawang besar
- 1 labu bawang putih
- 3 hiris halia*
- 2 inci kunyit hidup*
- 25 biji cili merah dan hijau (jika suka pedas, tambah lebih banyak cili)*
- 3 biji cili merah*
- Belacan secukupnya*
Bahan Lain:
- 1 batang serai, dititik
- 1 keping asam keping
- 4 helai daun kunyit, dihiris halus
- 10 biji cili merah, dipotong-potong
- 2 kotak kecil santan (disyorkan menggunakan santan kotak Kara)
- Air secukupnya
- Garam, gula, dan serbuk perasa (pati ayam Maggie) secukup rasa
- Minyak untuk menumis
Cara Penyediaan:
1. Kisar kasar bawang besar, bawang putih, halia, kunyit hidup, cili merah, cili hijau, dan belacan. Anda boleh menggunakan chopper untuk mendapatkan tekstur yang sedikit kasar.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, kemudian tumis bahan-bahan yang telah dikisar kasar. Tidak perlu menumis sehingga terlalu garing, cukup sekadar naik bau.
3. Selepas bahan tumisan naik bau, masukkan serai yang telah dititik dan sepotong asam keping untuk memberi rasa masam yang seimbang dalam kuah.
4. Masukkan garam, gula, dan serbuk perasa pati ayam Maggie. Sesuaikan rasa mengikut citarasa anda.
5. Tuangkan santan kotak ke dalam kuali dan kacau rata. Tambahkan sedikit air untuk mencapai kepekatan kuah yang diingini. Biarkan ia masak sehingga kuah mendidih dan pekat.
6. Selepas kuah mencapai kepekatan yang diingini, perlahankan api. Taburkan sebahagian daun kunyit yang telah dihiris dan kacau rata. Jika kurang minyak, boleh tambah sedikit minyak. Seimbangkan rasa masin, manis, dan masam.
7. Setelah kuah siap, matikan api dan tuangkan kuah lemak Kapitan yang pekat di atas ikan yang telah digoreng tadi. Taburkan lebih daun kunyit dan potongan cili untuk memberikan extra pedas dan hiasan yang menarik.
Sumber: Nor Afidah
Baca lagi: Resipi Sambal Tumis Sotong Kembang, Guna Tips Ini Confirm Tak Liat!