Terdapat beberapa jenis kuih goreng yang disejuk bekukan supaya boleh dimakan pada bila-bila masa dan salah satunya ialah Cucur Badak frozen yang disukai ramai.
Cucur Badak merupakan sejenis kuih tradisional Melayu yang tak lapuk dek zaman. Intinya adalah kelapa parut yang dimasak dengan sedikit rasa pedas berempah.
Selain digoreng terus, ada juga orang yang buat Cucur Badak frozen seperti yang dikongsikan oleh Ratu Qu Ain di Facebook ini. Jom kita cuba!
Baca juga: Cucur Labu Manis Anti Gagal, Rasa Lemak Manis Dan Lembut Di Dalam!
RESIPI CUCUR BADAK FROZEN
Bahan-bahan untuk inti serunding kelapa:
- 2 biji kelapa parut putih
- 80gm cili kering
- 1 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 5 batang serai
- 6 sudu besar ketumbar
- 3 sudu besar jintan manis
- 1 inci kunyit
- 2 inci halia
- 100gm udang kering
- 200gm gula pasir
- Garam dan ajinomoto secukup rasa
- Minyak secukupnya (untuk menumis)
Bahan-bahan untuk kulit:
- 2kg keledek kuning (sudah dikupas kulitnya)
- 1 sudu besar garam
- 500gm tepung gandum
- 50gm marjerin
Cara-cara membuat inti serunding kelapa:
1. Mula-mula, kisar semua bahan kecuali kelapa, garam, ajinomoto dan gula.
2. Selepas itu, panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak.
3. Kemudian, masukkan gula, garam, ajinomoto dan perasakan mengikut selera masing-masing.
4. Akhir sekali, masukkan kelapa dan masak sebati, kemudian sejukkan. Siap untuk digunakan!
Cara-cara membuat cucur badak frozen:
1. Mula-mula, rebus keledek sehingga lembut, tapi jangan sampai terlembik sebab nanti doh akan jadi lembik.
2. Apabila sudah lembut, toskan dan lenyek sehingga halus.
3. Selepas itu, sejukkan dan pastikan sampai betul-betul sejuk.
4. Kemudian, masukkan tepung bersama majerin dan uli sebati, tapi jangan tambah tepung sebab doh memang lembik sedikit.
5. Seterusnya, ambil minyak dan sapu pada tangan, kemudian timbang sebanyak 30gm (doh boleh dapat lebih kurang 85 biji).
6. Setelah itu, masukkan inti serunding dalam 1 sudu kecil dan tutup rapat serta bulat-bulatkan.
7. Akhir sekali, goreng sehingga timbul dan sentiasa kacau supaya masak sekata. Siap untuk disejuk bekukan!
Setelah buat Cucur Badak frozen ini, kami yakin anda akan puas hati dengan hasilnya yang lembut dan gebu serta rasa pedas yang kena dengan citarasa.
Selamat mencuba!
Sumber: Ratu Qu Ain
Baca juga: Resepi Cucur Udang Rangup, Wanita Ini Ajar Cara Mudah Buat Guna Senduk