Entri hari ini kami kongsikan dengan anda cara membuat cekodok pisang gula Melaka. Rasa manis gula Melaka ini memberikan kelainan, dan kalau anda sukakan rasa manis yang lebih kuat, boleh laraskan mengikut citarasa.
Dengan tekstur lembut dan sedikit rangup di luar, ia pasti akan menjadi kegemaran keluarga, terutama sekali anak-anak.
Jom cuba resipi cekodok pisang yang lain dari lain ini!
Baca lagi: Resipi Tomyam Goong Campur, Tak Sangka Kuah Padu Macam Di Kedai!
RESIPI CEKODOK PISANG GULA MELAKA
Bahan-Bahan:
- Pisang merah – 3 biji (atau pisang biasa 7-8 biji)
- Gula Melaka – setengah hingga 3 suku ketul (ikut citarasa manis yang diinginkan)
- Air – secukupnya (untuk mendidihkan gula melaka)
- Garam – sedikit untuk rasa lemak
- Telur – 1 biji
- Tepung gandum – 2 cawan
- Tepung beras – 3 sudu
- Soda bikarbonat – setengah sudu kecil
- Minyak masak – untuk menggoreng
Cara Penyediaan:
1. Ambil 3 biji pisang merah (atau 7-8 biji pisang biasa), dan lenyekkan pisang tersebut menggunakan garpu. Jangan terlalu halus.
2. Sementara itu, didihkan air bersama gula melaka. Untuk gula melaka, anda boleh menggunakan setengah atau tiga suku ketul daripada ketul kecil yang biasa dijual di kedai runcit.
3. Setelah gula Melaka cair, tuangkan air tersebut ke dalam mangkuk pisang yang telah dilenyek.
4. Masukkan sedikit garam ke dalam campuran pisang untuk menambahkan rasa lemak. Pecahkan 1 biji telur ke dalam campuran pisang, dan kacau rata.
5. Masukkan 2 cawan tepung gandum, 3 sudu tepung beras, dan ½ sudu kecil soda bikarbonat. Gaul hingga adunan menjadi pekat dan sebati. Anda boleh menambah sedikit air jika adunan terlalu pekat, tetapi pastikan kekal dalam konsistensi yang cukup pekat untuk digoreng
6. Panaskan minyak dalam kuali, dan pastikan minyak cukup panas sebelum memasukkan adunan cekodok. Setelah minyak panas, perlahan kan api agar cekodok dapat masak dengan sempurna tanpa hangus.
7. Ambil adunan cekodok menggunakan tangan dan bentuk bulat-bulat kecil sebelum dimasukkan ke dalam minyak panas. Goreng cekodok hingga keemasan dan garing di kedua-dua belah. Jangan lupa untuk terbalikkan cekodok supaya ia masak sekata.
8. Setelah cekodok pisang masak, angkat dan toskan minyaknya.
Cekodok pisang ini boleh dimakan begitu sahaja, biasanya dinikmati bersama teh O kosong suam. Memang sedap dan sesuai sebagai hidangan ringan di waktu petang.
Selamat mencuba!
Sumber: Syalfarina Razali
Baca lagi: Resipi Kari Ayam Padu Dari Biasa, Rupanya Kena Perap Dengan Bahan Rahsia