Cara buat kek loaf pandan kelapa ini cukup mudah jika tahu caranya yang betul. Dijamin hasil kek selepas dibakar akan memuaskan hati.
Kek ini kurang manis, lembut dan baunya wangi dengan penggunaan mentega serta 100% pati pandan asli.
Jika ada yang ingin mencuba, boleh lihat resipi penuh yang dikongsikan oleh seorang pengguna laman sosial Facebook bernama Noor Ashikin Saerah di bawah.
Baca juga: Resipi Kek Marble Red Velvet Yang Gebu & Kurang Manis, Mak-Mak Mesti Suka!
CARA BUAT KEK LOAF PANDAN KELAPA
Bahan-bahan (loyang 7x3x3 inci):
- 125 g mentega
- 100 g gula kastor (saya guna 90 g)
- 120 g telur/ 2 biji telur A
- 125 g tepung kek (ayak)
- 1 sdt serbuk penaik (ayak)
- 30 g (2 sdb) santan
- 30 g (2 sdb) pati/ mendapan jus pandan
- 20 g (4 sdb) emping kelapa Hawaii (Hawaiian coconut flakes)
Cara penyediaan:
- Sediakan loyang berukuran 7x3x3 inci. Alaskan dengan kertas pembakar.
- Panaskan ketuhar pada suhu 160°C/ 170°C.
- Pukul mentega & gula kastor sehingga warnanya pucat & berkrim dengan menggunakan ‘mixer’.
- Masukkan telur satu per satu. Pukul selama 1 minit untuk setiap telur dengan kelajuan paling tinggi.
- Masukkan bahan kering – cecair – bahan kering – cecair – bahan kering. Kaup balik dengan spatula sehingga adunan sebati & tidak berketul.
- Tuang adunan kek ke dalam loyang yang telah desediakan. Ratakan adunan.
- Hentak loyang 2-3 kali & bakar adunan kek pada suhu 160°C/ 170°C selama 50-55 minit/ sehingga kek masak pada rak tengah. Selepas 20 minit dari masa mula membakar, keluarkan kek dari ketuhar & toreh (slit) permukaan kek dengan pisau untuk mendapatkan kesan merekah (pilihan).
- Setelah kek masak, sejukkan kek terlebih dahulu sebelum dipotong supaya dapat menghasilkan potongan kek yang kemas.
Nota:
- Saya bakar kek pada suhu 165-170°C untuk mendapatkan kesan perang pada bahagian luar kek. Suhu yang digunakan bergantung pada keadaan ketuhar masing-masing.
- Saya timbang & sukat bahan-bahan dengan menggunakan sukatan metrik untuk resipi ini.
Kredit resipi dan gambar: Noor Ashikin Saerah
Baca juga: Wow! Resipi Kek 3 Bahan Ini Sesuai Untuk Diet, Boleh Makan Tanpa Rasa Bersalah