Selain acar buah, sebenarnya acar boleh dipelbagaikan termasuklah acar ikan masin talang ini. Peminat acar pasti suka!
Acar ini boleh menjadi pembuka selera jika kurang berselera makan, malah boleh membuatkan kita makan nasi berpinggan-pinggan.
Anda boleh buat banyak terus untuk dijadikan stok. Bila teringin nak makan, tinggal cedok saja. Jom cuba!
Baca juga: Resipi Ikan Bakar Sambal, Tanpa Air Asam Pun Tetap ‘Umph’!
RESEPI ACAR IKAN MASIN TALANG
Bahan-bahan:
- Ikan talang masin – digoreng hingga garing
- Lobak masin – digoreng hingga garing
- Bawang merah – digoreng hingga garing
- Bawang putih – digoreng hingga garing
- Halia – digoreng hingga garing
- Minyak goreng – untuk menumis
- Halba – untuk menumis
- Biji sawi – untuk menumis
- Jintan – untuk menumis
- Pes bawang – yang sudah digoreng
- Serbuk cili
- Rempah
- Gula melaka – diketuk kecil
- Gula merah
- Garam – 1 sudu kecil (ikut keperluan)
- Kulit lemon
- Kurma – basuh dulu sebelum guna
- Goji berry – basuh dulu sebelum guna (atau kismis)
- Buah pala
- Air – jika kuah terlalu pekat
- Jeruk cili – untuk rasa pedas (boleh tukar dengan cili api segar)
Cara memasak:
- Seekor ikan talang saiz sederhana ambil bahagian isi sahaja. Rendam sejam sebelum masak. Bilas dan sejat. Goreng sehingga garing, angkat dan toskan. Ketepikan.
- Rendam lobak sejam sebelum masak. Goreng lobak masin hingga garing, angkat dan toskan. Ketepikan.
- Rendam halia, bawang merah dan bawang putih dengan air kapur makan dan cuka. Setelah itu, sejat dan bilas sebelum digoreng (jangan terlalu coklat supaya tidak pahit). Angkat, sejat dan ketepikan. Tujuan goreng supaya acar tahan lama.
- Dalam minyak gorengan tadi, tumis halba, biji sawi dan jintan sekejap sahaja. Jika minyak terlalu banyak, buang lebihan dan tinggalkan satu senduk kecil. Jika tidak, acar akan jadi terlalu berminyak.
- Masukkan pes bawang, masak hingga wangi dan pekat.
- Tambahkan serbuk cili dan rempah, masak hingga pecah minyak atau agak garing. Jika kurang minyak, tambah sedikit sahaja.
- Masukkan gula melaka yang sudah diketuk kecil, supaya cepat cair. Kemudian, tambahkan gula merah dan garam (ingat, garam jangan terlalu banyak sebab ikan dan lobak sudah masin). Masak hingga kuah menjadi pekat.
- Masukkan kulit lemon, kurma, goji berry (atau kismis), buah pala dan sedikit air jika kuah terlalu pekat. Masak lagi sehingga kurma kembang. (Jangan lupa basuh kurma dan goji terlebih dahulu).
- Apabila kuah sudah pekat dan berbalut dengan bahan-bahan, masukkan semula lobak yang digoreng, ikan masin dan bawang-bawang yang telah digoreng tadi. Kacau rata hingga semuanya sebati dengan kuah.
- Akhir sekali, masukkan jeruk cili, kacau rata dan siap untuk dihidangkan!
Nota:
- Resipi ini pedas. Jika tidak tahan pedas, kurangkan serbuk cili atau elakkan terus dari meletakkan cili jeruk. Rempah sudah cukup pedas bagi yang kurang gemar pedas. Cili jeruk juga boleh diganti dengan cili api segar jika suka.
- Acar ini paling sedap dimakan bersama gulai ikan masin tumis darat, ayam masak merah kenduri dan nasi minyak. Memang ‘lajak’ berpinggan!
- Bagi yang berdiet, disarankan untuk masak dan sedekahkan kepada jiran tetangga dan sahabat, sebab resipi ini menghasilkan banyak hidangan. Kalau tidak, nanti boleh menyesal apabila berat badan naik. Berkongsi rezeki adalah amalan mulia, terutama di bulan Syawal.
Kredit: Intan Izaida
Baca juga: Lelaki Kongsi Petua Mak Goreng Ikan Sungai, Buat Begini Rangup Sampai Tulang!