Selain kek dan aiskrim, ramai suka makan bubur yang manis sebagai pencuci mulut dan paling digemari ialah Bubur Butir Nangka yang lemak berkrim.
Sebenarnya Bubur Butir Nangka ialah pencuci mulut Thailand yang turut popular di Pantai Timur Semenanjung Malaysia seperti Kelantan dan Terengganu.
Jika anda teringin makan pencuci mulut yang manis di rumah, boleh cuba resipi Bubur Butir Nangka yang dikongsikan oleh Nina Izzara di Facebook ini.
Baca juga: Bubur Kacang Hijau Durian, Lemak Manis Cukup Rasa Dengan Resipi Ini
RESIPI BUBUR BUTIR NANGKA
Bahan-Bahan :
- Tepung pulut
- Air
- Santan
- Pewarna
- Biji halba (tambahan)
- Daun pandan
- Gula
- Garam
- Buah nangka (jika ada)
Cara-cara:
1. Bancuh tepung pulut dan air. Tepung pulut 1 pek 500gram untuk 12 orang makan. Jika nak buat sikit, guna separuh pek saja. Air masuk sikit-sikit dalam tepung, agak-agak sampai tepung tak melekat di tangan dan senang nak gentel.
2. Jika nak buat warna-warni, bahagikan adunan itu dan masukkan pewarna dalam setiap adunan. Saya buat tiga warna saja.
3. Semasa uli tepung, panaskan air siap-siap dalam periuk sehingga mendidih. Apabila air sudah mendidih, gentel adunan tepung kecil-kecil, ikut suka nak bentuk bulat atau leper. Gentel-gentel terus campak dalam periuk air yang mendidih.
4. Sambil-sambil itu, panaskan santan dalam periuk yang dicampur air sikit. Saya guna santan kotak kara yang 200ml untuk 250 gram tepung pulut. Jika nak guna santan segar pun boleh.
5. Apabila butir-butir yang digentel tadi sudah terapung dalam periuk air mendidih tadi, tos dan terus masukkan ke dalam periuk santan.
6. Masukkan daun pandan, biji halba, gula dan garam secukup rasa ke dalam periuk santan. Siap untuk dinikmati!
Bubur Butir Nangka lebih bertambah sedap jika campur buah nangka, tapi jangan lupa untuk potong kecil-kecil terlebih dahulu supaya mudah dimakan nanti.
Selamat mencuba!
Sumber: Nina Izzara
Baca juga: Bubur Cha Cha, Lembut Dan Lemak Manis Sampai Makan Berulang Kali