
Beza garam kasar dan garam halus sering menjadi persoalan ramai ketika berada di dapur, terutama bila nak tentukan garam mana paling sesuai untuk masakan harian. Walaupun nampak sama, sebenarnya kedua-duanya memberi kesan yang berbeza pada rasa dan cara masakan.
Bayangkan tengah masak sup panas atau perap ayam untuk BBQ hujung minggu, kalau tersalah pilih jenis garam, rasa masakan boleh jadi terlalu masin atau kurang “sedap”. Sebab itu penting untuk tahu fungsi setiap jenis garam sebelum digunakan.
Dalam artikel ini, MyResipi akan kongsikan perbezaan garam kasar dan garam halus dengan cara paling mudah difahami, supaya selepas ini anda tak lagi keliru di dapur.
Baca juga: Sebelum Masak Gulai Tempoyak, Jom Kenali Beza Ikan Patin Sungai & Kolam Yang Ramai Masih Keliru
CARA PENGGUNAKAN GARAM KASAR & GARAM HALUS DALAM MASAKAN
1. Guna garam kasar untuk masakan berkuah

Garam kasar sangat sesuai untuk masakan berkuah seperti sup, gulai, kari dan rendang. Ini kerana teksturnya yang besar membuatkan ia larut perlahan dalam kuah panas, jadi rasa lebih sekata dan tidak terlalu “terkejut” masin.
Biasanya garam kasar dimasukkan lebih awal semasa memasak supaya sempat larut sepenuhnya dan sebati dengan bahan lain. Hasilnya, rasa kuah jadi lebih seimbang dan sedap bila dimakan.
2. Guna garam halus untuk masakan cepat

Garam halus pula sesuai untuk masakan ringkas seperti telur goreng, nasi goreng, ayam goreng dan sayur tumis. Teksturnya yang halus membuatkan ia mudah larut dan cepat sebati dalam makanan.
Sebab itu ramai rasa garam halus lebih cepat “naik rasa” dalam masakan. Tapi kena hati-hati, kerana jika terlebih, rasa masin boleh jadi kuat dengan cepat tanpa sempat disedari.
3. Sesuaikan ikut rasa, bukan ikut jenis semata-mata
Walaupun ada perbezaan fungsi, perkara paling penting dalam memasak ialah cara kita kawal rasa. Tidak kira garam kasar atau garam halus, kuncinya ialah tambah sedikit demi sedikit.
Rasa masakan setiap kali tambah garam supaya tidak terlebih. Ini penting kerana garam tidak boleh dikurangkan jika sudah terlalu masin. Lama-kelamaan, kita akan lebih mahir mengagak sukatan yang tepat.
Kesimpulannya, beza garam kasar dan garam halus bukan pada tahap kemasinan sebenar, tetapi pada saiz, cara larut dan penggunaan dalam masakan. Kedua-duanya penting dan saling melengkapi di dapur.
Kalau nak masakan lebih sedap dan konsisten, paling ideal ialah simpan dua-dua jenis garam dan guna ikut jenis lauk yang dimasak. Ringkas, tapi sangat memberi kesan pada rasa akhir hidangan.
Sumber: Facebook
Baca juga: Ayam Goreng Keluar Darah Walaupun Dah ‘Defrost’? Ini Punca Sebenar Yang Ramai Tak Tahu
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














