Sedang mencari idea kuih yang mudah disediakan untuk jamuan akhir tahun anak-anak di sekolah? Apa kata cuba buat apam susu gebu yang berwarna-warni ini. Bukan sahaja nampak menarik, malah bahan-bahannya juga ringkas dan mudah didapati.
Resipi perkongsian Nur Adila Roslan di Facebook ini boleh dijadikan inspirasi buat ibu-ibu yang ingin menyediakan hidangan istimewa untuk anak-anak. Teksturnya yang gebu dengan rasa manis berlemak daripada susu pekat pasti membuatkan sesiapa sahaja teringin mencubanya.
Baca juga: Resipi Loaded Potato Homemade, Siap Dengan Ayam Popcorn Dan Sos Cheese Meleleh!
RESEPI APAM SUSU GEBU, LEMBUT DAN MUDAH DISEDIAKAN

Apam susu ini menggunakan bahan asas seperti tepung gandum, telur, gula, susu pekat dan beberapa bahan tambahan untuk menghasilkan adunan yang gebu.
Lebih menarik, adunan boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian dan dicampurkan dengan pewarna pilihan. Hasilnya, apam susu tampil dengan warna-warni yang cukup menarik, sesuai dihidangkan ketika jamuan sekolah, majlis hari jadi atau minum petang bersama keluarga.
Bahan-Bahan
- 1 cawan tepung gandum
- 2 biji telur gred A
- 1 cawan gula kastor
- 3 sudu besar susu pekat
- 1 sudu kecil ovalette
- 1 sudu kecil esen krim vanila
- 3 jenis pewarna pilihan
Cara-Cara Penyediaan
1. Masukkan telur, gula kastor, ovalette dan esen krim vanila ke dalam bekas adunan.
2. Pukul menggunakan mixer sehingga adunan menjadi putih, kembang dan gebu.
3. Masukkan susu pekat, kemudian sambung pukul sehingga sebati.
4. Masukkan tepung gandum dan kacau perlahan-lahan sehingga semua bahan bercampur rata.
5. Bahagikan adunan kepada tiga bahagian. Masukkan pewarna pilihan yang disukai ke dalam setiap bahagian dan gaul sehingga warna sekata.
6. Panaskan pengukus terlebih dahulu sehingga air mendidih.
7. Sapu sedikit minyak pada acuan supaya apam tidak melekat. Masukkan adunan ke dalam piping bag untuk memudahkan proses mengisi acuan.
8. Picit adunan ke dalam acuan mengikut warna pilihan.
9. Susun acuan di dalam pengukus dan kukus selama lebih kurang 20 minit menggunakan api sederhana.
10. Setelah masak, keluarkan apam dan biarkan seketika sebelum dihidangkan.
TIPS UNTUK DAPATKAN APAM SUSU YANG GEBU
- Pastikan telur, gula dan ovalette dipukul sehingga betul-betul kembang dan putih.
- Masukkan tepung secara perlahan dan gaul sehingga sebati supaya tekstur adunan kekal ringan.
- Pastikan air pengukus sudah mendidih sebelum memasukkan adunan.
- Gunakan api sederhana supaya apam masak dengan sekata.
- Sapu sedikit minyak pada acuan bagi memudahkan apam dikeluarkan selepas dikukus.
Bagi ibu-ibu yang sedang mencari idea untuk jamuan akhir tahun anak-anak, resipi apam susu gebu ini memang boleh masuk dalam senarai. Bahan yang mudah didapati dan cara penyediaannya juga tidak terlalu rumit.
Boleh gunakan pelbagai warna mengikut kreativiti masing-masing supaya hasilnya lebih ceria dan menarik. Selamat mencuba!
Sumber: Nur Adila Roslan
Baca juga: Ayam BBQ Crunchy Menu Popular Untuk Potluck Anak, Sekali Bawa Ke Sekolah Memang Licin!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

