Resipi One Pot Chicken Rice ini sesuai untuk peminat nasi ayam yang mahukan cara penyediaan lebih mudah dan praktikal. Tak perlu banyak periuk belanga kerana nasi dan ayam boleh dimasak bersama dalam satu periuk sahaja.
Walaupun penyediaannya ringkas, hidangan One Pot Chicken Rice ini tetap kaya dengan aroma bawang putih, halia dan stok ayam yang meresap ke dalam nasi. Paha ayam pula dimasak sehingga empuk dan lebih menyelerakan apabila dinikmati bersama sos halia dan daun bawang.
Hidangan ini memang sesuai dijadikan menu makan tengah hari atau malam, terutama apabila mahukan sesuatu yang mengenyangkan tanpa perlu menghabiskan banyak masa di dapur. Sekali masak, nasi dan lauk sudah tersedia untuk dinikmati seisi keluarga!
Baca juga: Nasi Ayam Gepuk Ala Pak Gembus, Sambal Pedas Campur Kacang Memang ‘Berapi’ Bila Makan!
RESIPI ONE POT CHICKEN RICE
Bahan-bahan:
Bahan nasi dan ayam:
- 4 ketul paha ayam
- 2 cawan beras
- 4 ulas bawang putih
- 2 inci halia
- 2 batang daun bawang
- 1 sudu besar minyak bijan
- 1 sudu besar minyak masak
- 2 sudu besar kicap soya
- 2 ½ cawan stok ayam atau air
- Garam secukup rasa
- Lada putih secukup rasa
Bahan sos:
- 3 batang daun bawang
- 1 sudu besar halia parut
- 2 sudu besar minyak masak panas
- 1 sudu kecil minyak bijan
- Garam secukup rasa
Cara penyediaan:
- Basuh beras sehingga bersih dan toskan.
- Cincang bawang putih, hiris halia dan perasakan paha ayam dengan garam serta lada putih.
- Panaskan minyak masak dan minyak bijan. Tumis bawang putih serta halia sehingga naik bau.
- Masukkan beras dan kicap soya. Gaul rata sebelum tuangkan stok ayam.
- Susun paha ayam di atas beras dan tutup periuk.
- Masak dengan api sederhana sehingga mendidih, kemudian kecilkan api dan masak selama 15–20 minit sehingga nasi dan ayam masak.
- Tutup api dan biarkan selama 10 minit sebelum menggemburkan nasi.
- Untuk sos, campurkan daun bawang, halia parut dan garam.
- Tuangkan minyak panas serta minyak bijan ke dalam campuran sos. Gaul rata.
- Hidangkan nasi bersama paha ayam dan sos halia daun bawang.
Nota: Pastikan paha ayam disusun di atas nasi dengan bahagian kulit menghadap ke atas. Periksa bahagian paling tebal ayam menggunakan termometer makanan jika ada; suhu dalaman perlu mencapai 74°C untuk memastikan ayam masak sepenuhnya.
Sumber: Threads @as.host
Baca juga: Resipi Nasi Ayam Roasted Homemade, Ayam Panggang Juicy Dengan Nasi Wangi & Sos Cili Segar!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

