Resepi dimsum mentai ini sesuai dicuba buat penggemar dimsum yang sukakan gabungan inti ayam lembut dengan sos mentai berkrim. Lebih menarik, hidangan ini boleh disediakan sendiri di rumah menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati.

Untuk menyediakan dimsum, isi ayam akan dicampurkan dengan bawang putih goreng, lobak merah, daun bawang dan beberapa bahan perasa. Inti kemudiannya dibungkus menggunakan kulit dumpling sebelum direbus sehingga masak.

Keistimewaan hidangan ini terletak pada sos mentai yang disapu banyak di atas dimsum sebelum dibakar menggunakan torch sehingga permukaannya sedikit garing. Kemudian, taburkan serbuk rumpai laut dan bijan untuk melengkapkan hidangan. Kalau berminat nak buat untuk jualan pun boleh cuba resipi ini!

Baca juga: Resipi Chawanmushi Sedap & Lembut Ala Dekat Restoran Jepun, ‘First Time’ Buat Pun Terus Menjadi!

RESEPI DIMSUM MENTAI

resepi dimsum

Bahan-bahan dimsum:

  • 500 gram isi ayam (dikisar menggunakan chopper tanpa air)
  • 4 ulas bawang putih (digoreng)
  • Lobak merah (dicincang menggunakan chopper)
  • Daun bawang (dicincang menggunakan chopper)
  • 2 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar kicap cair
  • 2 sudu besar minyak bijan
  • 1 sudu kecil lada sulah
  • Perasa secukup rasa
  • Kulit dumpling bulat secukupnya

Bahan-bahan sos mentai:

  • 2 cawan mayonis
  • 4 sudu besar sos cili
  • 4 sudu besar sos tomato
  • 1/3 cawan susu cair
  • 2 sudu besar sos ikan
  • Telur ikan tobiko (jika ada)
  • Chili flakes halus (jika suka pedas)

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan isi ayam yang sudah dikisar ke dalam bekas. Pastikan tidak menambahkan air ketika mengisarnya.
  2. Masukkan bawang putih goreng, lobak merah dan daun bawang yang sudah dicincang.
  3. Tambahkan sos tiram, kicap cair, minyak bijan, lada sulah dan perasa secukup rasa.
  4. Gaul semua bahan sehingga sebati dan menjadi inti dimsum.
  5. Ambil sekeping kulit dumpling, letakkan inti ayam secukupnya di bahagian tengah dan bentukkan seperti dimsum. Ulang sehingga inti habis.
  6. Didihkan air dalam periuk, kemudian masukkan dimsum dan rebus selama lebih kurang 15 minit sehingga masak.
  7. Untuk menyediakan sos mentai, campurkan mayonis, sos cili, sos tomato, susu cair dan sos ikan ke dalam mangkuk. Kacau sehingga semuanya sebati.
  8. Masukkan telur ikan tobiko jika ada. Kalau sukakan rasa pedas, boleh tambahkan sedikit chili flakes halus.
  9. Susun dimsum yang sudah direbus di dalam bekas yang sesuai.
  10. Tuangkan sos mentai di atas setiap dimsum sehingga menutupi bahagian atasnya.
  11. Gunakan torch untuk membakar permukaan sos sehingga sedikit garing.
  12. Akhir sekali, taburkan serbuk rumpai laut dan bijan sebelum dihidangkan.

Dimsum mentai ini bukan sahaja sesuai dijadikan hidangan untuk dinikmati bersama keluarga, malah boleh juga dijadikan idea jualan dari rumah. Selamat mencuba!

Sumber: Inayirus Idias

Baca juga: Cara Rebus Edamame Sedap Macam Restoran Jepun, Barulah Kekal Hijau, Lembut & Tak Lembik!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending