Butter murukku atau muruku mentega merupakan antara kudapan tradisional India yang cukup digemari kerana teksturnya yang rangup serta rasanya yang berlemak.

Diperbuat daripada campuran tepung beras, tepung urad dhal, bijan dan beberapa bahan lain, muruku ini mempunyai aroma tersendiri hasil penggunaan mentega dalam adunannya.

Cara membuat muruku mentega ini juga tidaklah terlalu rumit. Adunan hanya perlu digaul sehingga lembut sebelum ditekan menggunakan acuan muruku dan digoreng sehingga keemasan. Jom cuba resipi perkongsian ini untuk dijadikan kudapan di rumah!

Baca juga: Cara Buat Snek Omapodi, Jajan Wajib Ada Bila Sambut Deepavali

RESIPI BUTTER MURUKKU

butter murukku

Bahan-bahan:

  • 1 cawan tepung beras (disangai)
  • 1/4 cawan tepung urad dhal (disangai)
  • 1 sudu besar lemuju (disangai)
  • 1/2 sudu besar jintan putih (disangai)
  • 4 sudu besar bijan putih (disangai)
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 sudu besar garam
  • 3 sudu besar mentega

Cara-cara penyediaan:

  1. Panaskan santan pekat bersama garam sehingga suam. Ketepikan.
  2. Masukkan tepung beras, tepung urad dhal, lemuju, jintan putih dan bijan putih yang telah disangai ke dalam bekas.
  3. Tambahkan mentega dan gaul rata menggunakan sudu sehingga sebati dengan bahan kering.
  4. Tuangkan santan sedikit demi sedikit sambil menggaul adunan sehingga menjadi lembut. Tidak semestinya perlu menggunakan kesemua santan yang disediakan. Simpan lebihan jika adunan sudah mencapai tekstur yang sesuai.
  5. Masukkan adunan ke dalam acuan muruku. Tekan adunan secara berpusing sehingga membentuk lingkaran bulat.
  6. Panaskan mentega di dalam kuali untuk menggoreng.
  7. Goreng muruku sehingga garing dan keemasan. Angkat dan toskan.
  8. Biarkan sejuk sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara supaya kekal rangup.

Tip: Pastikan santan dimasukkan sedikit demi sedikit ketika menguli supaya adunan tidak terlalu lembik dan mudah ditekan menggunakan acuan muruku.

Sumber: Pari Malar Thoraisingam

Baca juga: Nei Urundai, Salah Satu Kuih Tradisional Wajib Ada Ketika Sambutan Deepavali

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending