Donut bantal antara pilihan menarik untuk dibuat sendiri di rumah, terutama apabila teringin menikmati kuih panas-panas pada waktu petang. Teksturnya yang lembut dan gebu, ditambah pula dengan salutan gula di luar, memang sesuai dinikmati bersama secawan teh atau kopi.

Menariknya, resipi donut bantal ini tidak memerlukan proses menguli doh terlalu lama. Selepas semua bahan digaul rata dan doh dibiarkan kembang, doh hanya perlu dicanai sebelum dipotong menjadi bentuk bantal. Tak perlu bersusah payah membentuk donut bulat seperti biasa!

Cara penyediaannya juga cukup mudah dan sesuai untuk sesiapa yang mahu mencuba membuat donut sendiri di rumah. Ikuti resipi donut bantal ini untuk menghasilkan hidangan yang lembut di dalam, manis di luar dan sesuai dijadikan menu minum petang bersama keluarga.

Baca juga: Resipi Puding Karamel, Guna 3 Biji Telur Saja Pun Dah Boleh Dapat Satu Loyang!

RESIPI DONUT BANTAL TANPA ULI LAMA

donut bantal

Bahan-bahan 1:

  • 1 paket yis segera (11g)
  • 2 sudu besar susu pekat manis
  • 2 sudu besar gula pasir
  • 1½ cawan air suam

Bahan-bahan 2:

  • 4 cawan tepung gandum
  • 2 sudu besar marjerin
  • ½ sudu kecil garam halus
  • 2 sudu kecil serbuk penaik (baking powder)

Bahan tambahan:

  • Minyak untuk menggoreng
  • Gula pasir secukupnya untuk salutan

Cara-cara penyediaan:

  1. Satukan yis segera, susu pekat manis, gula pasir dan air suam di dalam bekas. Kacau sehingga gula larut.
  2. Biarkan campuran yis selama 15 minit.
  3. Dalam bekas berasingan, masukkan tepung gandum, marjerin, garam halus dan serbuk penaik. Gaul sehingga sebati.
  4. Tuangkan campuran yis ke dalam bahan tepung. Gaul semua bahan sehingga sebati dan membentuk doh.
  5. Tutup bekas dan rehatkan doh selama 45 minit hingga 1 jam atau sehingga doh mengembang.
  6. Uli doh sekejap untuk mengeluarkan angin, kemudian biarkan selama 5 minit.
  7. Canai doh dan potong kepada bentuk empat segi seperti bantal mengikut saiz yang disukai.
  8. Biarkan doh yang telah dipotong naik sedikit sebelum digoreng dalam minyak panas menggunakan api sederhana hingga keemasan. Pastikan donat masak dengan sempurna.
  9. Angkat dan toskan minyak. Ketika donat masih suam, salutkan dengan gula pasir secukupnya jika suka.
  10. Donut bantal siap untuk dinikmati. Hidangkan ketika masih segar bersama minuman kegemaran untuk minum petang.

Sumber: Salbiah Ahamad

Baca juga: Resipi Wantan Goreng Inti Ayam Berperisa & Rangup, Ini Tips Supaya Lipatan Tak Koyak!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending