Kulit ketayap yang lembut, nipis dan tidak mudah koyak memang memudahkan kerja membungkus inti kelapa. Kalau sedang mencari cara buat kulit ketayap yang elok hasilnya, resipi ini boleh dicuba menggunakan sukatan cawan dan bahan-bahan yang mudah didapati di dapur.

Rahsia kulit ketayap ini terletak pada penggunaan tepung ubi yang dicampurkan bersama tepung gandum. Selain itu, air daun pandan digunakan untuk memberikan aroma harum dan warna hijau semula jadi pada kulit ketayap.

Cara penyediaannya juga mudah kerana semua bahan hanya perlu dikisar, ditapis dan direhatkan sebelum dimasak menggunakan kuali non-stick. Menariknya, kulit ketayap yang siap dimasak boleh ditindihkan supaya lebih mudah untuk menyediakan kuih dalam jumlah yang banyak.

Baca juga: Resipi Kuih Cucur Topi, Hanya Guna 5 Bahan Untuk Hasil Rangup Di Tepi & Lembut Di Tengah

CARA BUAT KULIT KETAYAP TAK MUDAH KOYAK

cara buat kulit ketayap

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 sudu besar tepung ubi (membukit)
  • 3 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu kecil garam
  • 3 cawan air daun pandan
  • Sedikit pewarna hijau (jika suka)

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan tepung gandum, tepung ubi, minyak masak, garam dan air daun pandan ke dalam pengisar.
  2. Kisar semua bahan sehingga sebati dan tidak berketul.
  3. Tapis adunan untuk mendapatkan bancuhan yang lebih halus.
  4. Rehatkan adunan selama 15 minit sebelum dimasak.
  5. Panaskan kuali non-stick dan sapukan sedikit minyak jika perlu.
  6. Tuangkan sedikit bancuhan ke dalam kuali, kemudian lenggangkan kuali supaya adunan membentuk lapisan nipis dan sekata.
  7. Masak menggunakan api sederhana kecil sehingga permukaan kulit ketayap kelihatan kering dan masak.
  8. Angkat kulit ketayap dengan berhati-hati dan ulang langkah yang sama sehingga semua bancuhan habis.
  9. Kulit ketayap yang siap dimasak boleh ditindihkan sebelum digunakan untuk membungkus inti kelapa.

Tip: Pastikan kulit ketayap dimasak sehingga masak sebelum diangkat. Gunakan kuali non-stick untuk memudahkan proses mengangkat kulit tanpa merosakkannya.

Sumber: Fazidah Binti Nawi

Baca juga: Resepi Tepung Bungkus Versi Mudah, Kuih Lama Yang Sedap & Digemari Ramai Sampai Sekarang

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending