Kalau selalu masak resepi siakap stim, kali ini boleh cuba pula versi kuah lemak yang cukup beraroma. Ikan siakap dikukus bersama serai, halia, akar ketumbar dan hirisan limau sebelum disiram dengan kuah santan yang lemak, masam dan cukup menyelerakan.
Menu ini memang sesuai sangat untuk hidangan seisi keluarga, terutama kalau anak-anak memang suka makan ikan. Kuahnya yang lemak dan ada rasa masam limau membuatkan selera terus terbuka. Makan pula dengan nasi putih panas dan telur dadar, memang susah nak berhenti!
Tak perlu bahan yang terlalu banyak atau cara memasak yang rumit. Ikan hanya perlu dikukus sehingga masak, manakala kuah lemak dimasak berasingan sebelum dituangkan ke atas ikan. Kalau suka rasa masam yang lebih kuat, boleh tambah lagi perahan limau mengikut selera.
RESEPI SIAKAP STIM LIMAU KUAH LEMAK
Bahan-bahan:
- 1 ekor ikan siakap
- 1 kotak santan
- 2 batang serai
- 1 biji bawang besar
- 4 ulas bawang putih
- Sedikit halia
- Sedikit daun dan akar ketumbar
- 1 biji limau
- Air secukupnya
- Garam secukup rasa
- Kicap sotong secukupnya
- Minyak untuk menumis
Cara-cara penyediaan:
- Bersihkan ikan siakap dan kelar sedikit bahagian badannya supaya bahan perapan dan aroma lebih mudah meresap.
- Letakkan ikan di dalam bekas tahan kukus. Susun serai, hirisan halia, akar ketumbar dan hirisan limau di atas serta sekeliling ikan.
- Kukus ikan selama 15 hingga 20 minit atau sehingga ikan masak sepenuhnya.
- Sementara ikan dikukus, sediakan kuah lemak. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang besar, bawang putih, halia, serai serta akar ketumbar sehingga layu dan naik bau.
- Masukkan santan dan kacau perlahan supaya santan tidak pecah. Tambahkan sedikit air jika kuah terlalu pekat atau mahu lebih banyak kuah.
- Perasakan dengan garam dan sedikit kicap sotong. Kemudian perahkan jus limau mengikut cita rasa.
- Laraskan rasa supaya kuah mempunyai gabungan lemak, masin dan masam yang seimbang.
- Akhir sekali, masukkan sedikit akar ketumbar dan kacau seketika.
- Setelah ikan masak, keluarkan dari pengukus dan tuangkan kuah lemak yang telah disediakan di atas ikan.
- Hidangkan panas-panas bersama nasi putih dan lauk sampingan seperti telur dadar. Memang ngam!
Sumber: Fikri Azhar
Baca juga: Resipi Ikan Dori Goreng Rangup Guna 3 Bahan, Tak Perlu Bancuhan Tepung Rumit
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM

