
Resepi bengkang pandan ini memang sesuai untuk penggemar kuih tradisional yang suka tekstur lembut, rasa lemak manis dan aroma pandan yang harum. Lebih menarik, bengkang ini boleh dibakar menggunakan air fryer tanpa perlu oven.
Menurut perkongsian Eniza M. Salim di Facebook, semua bahan hanya perlu diblend sebelum dituangkan ke dalam loyang. Kemudian, adunan dibakar sehingga masak dan bahagian atasnya boleh digaringkan mengikut citarasa.
Baca juga: Cara Buat Doh Donut Lembut, Satu Adunan Ini Boleh Buat Donut Dan Roti Bun Sekali
RESEPI BENGKANG PANDAN AIR FRYER

Gabungan tepung gandum, santan, telur dan air pandan menghasilkan bengkang yang lembut serta cukup berlemak. Sukatan gula pula boleh diubah mengikut tahap kemanisan yang disukai.
Bahan-Bahan:
- 1 ½ cawan tepung gandum
- 1 cawan pati santan
- 1 cawan air pandan
- ¾ cawan gula
- 1 sudu teh garam
- 2 biji telur
- 2 sudu makan butter
- Sedikit bijan
- Sedikit pewarna hijau
Nota: Jika suka rasa lebih manis, boleh gunakan sehingga 1 cawan gula.
Cara-Cara Penyediaan:
1. Masukkan tepung gandum, pati santan, air pandan, gula, garam, telur, butter dan sedikit pewarna hijau ke dalam pengisar.
2. Blend semua bahan sehingga sebati dan adunan menjadi licin.
3. Sapu loyang dengan sedikit butter.
4. Tuangkan adunan ke dalam loyang.
5. Taburkan sedikit bijan di atas permukaan adunan.
6. Masukkan loyang ke dalam air fryer.
7. Bakar pada suhu 160°C selama 20 minit.
8. Selepas 20 minit, cucuk bahagian tengah menggunakan lidi sate.
9. Jika lidi keluar tanpa kesan adunan, tandanya bengkang sudah masak.
10. Untuk mendapatkan bahagian atas yang lebih garing, sambung bakar selama 5 minit pada suhu 180°C.
11. Keluarkan dan biarkan bengkang sejuk sepenuhnya sebelum dipotong.
Tips Buat Bengkang Pandan:
- Jangan terus potong ketika panas. Biarkan bengkang sejuk sepenuhnya supaya teksturnya lebih set dan potongan menjadi lebih kemas.
- Periksa bahagian tengah sebelum keluarkan. Setiap air fryer mempunyai tahap kepanasan yang berbeza, jadi masa memasak mungkin perlu disesuaikan.
- Mahu permukaan lebih garing? Selepas bengkang masak pada suhu 160°C, sambung bakar selama 5 minit pada suhu 180°C.
- Laraskan gula mengikut selera. Sukatan asal menggunakan ¾ cawan gula. Jika suka rasa lebih manis, boleh tambah sehingga 1 cawan.
- Gunakan air pandan yang harum. Air pandan yang segar akan memberikan aroma lebih wangi apabila digabungkan dengan santan dan dibakar.
Kalau ada air fryer di rumah, bolehlah cuba resipi ini. Bahan mudah, cara penyediaan pun ringkas dan hasilnya cukup menyelerakan.
Selamat mencuba!
Sumber: Eniza M. Salim
Baca juga: Cekodok Pisang Resipi Tak Serap Minyak, Rupanya Nisbah Ini Buat Luar Rangup
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














