
Cara membuat sambal tumis kini semakin mudah apabila ramai berkongsi teknik menggunakan air fryer yang bukan sahaja menjimatkan masa, malah mengurangkan kerja-kerja menumis di dapur. Dalam tempoh kurang 30 minit, sambal tumis sudah siap dimasak dan boleh terus digunakan untuk pelbagai hidangan.
Lebih menarik, sepanjang sambal dimasak di dalam air fryer, anda masih boleh menyiapkan menu lain seperti kuey teow goreng, memanaskan sup atau menyediakan hidangan lain tanpa perlu berdiri lama di depan dapur. Kaedah ini sesuai untuk mereka yang mahukan masakan lebih praktikal dengan dapur yang kekal kemas.
Baca juga: Cara Buat Sos Homemade Tanpa Gula, Sekali Belajar Boleh Buat Pelbagai Jenis Sos Sendiri
CARA MEMBUAT SAMBAL TUMIS GUNA AIR FRYER

Jika selama ini anda menganggap sambal tumis perlu dikacau lama di atas dapur, teknik menggunakan air fryer ini mungkin akan mengubah cara memasak anda. Selain mengurangkan percikan minyak, hasil sambalnya tetap pekat, wangi dan sedap untuk dijadikan stok di rumah.
Bahan-bahan:
- 15-20 tangkai cili kering (direbus hingga lembut)
- 8-10 ulas bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- 1 biji bawang besar
- Sedikit belacan
- ½ cawan minyak masak
- 1-2 sudu besar gula melaka atau gula
- Garam secukup rasa
- Sedikit serbuk perasa (pilihan)
- Air asam jawa secukupnya
Cara-cara penyediaan:
1. Kisar cili kering bersama bawang merah, bawang putih, bawang besar dan belacan sehingga halus.
2. Masukkan bahan kisar ke dalam bekas yang sesuai untuk air fryer.
3. Tambahkan minyak masak dan gaulkan sehingga sebati.
4. Masak di dalam air fryer pada suhu 180°C selama 15 minit.
5. Keluarkan bekas, kacau sambal supaya masak sekata.
6. Masukkan gula melaka, garam, serbuk perasa serta air asam jawa mengikut cita rasa.
7. Sambung memasak selama 10 hingga 15 minit lagi atau sehingga sambal bertukar pekat, berkilat dan pecah minyak.
8. Sejukkan sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara atau terus digunakan untuk pelbagai masakan.
Tips:
- Laraskan tempoh memasak mengikut model air fryer kerana setiap jenama mempunyai tahap kepanasan yang berbeza.
- Gunakan bekas tahan haba yang sesuai supaya sambal masak dengan lebih sekata.
- Kacau sambal sekali atau dua kali sepanjang proses memasak bagi mendapatkan tekstur yang lebih cantik.
- Jika suka sambal lebih manis, tambah sedikit gula melaka. Jika gemarkan rasa masam, lebihkan sedikit air asam jawa.
- Sambal tumis ini boleh dijadikan stok dan disimpan di dalam peti sejuk untuk digunakan dalam nasi lemak, mi goreng, bihun goreng, kuey teow goreng atau sebagai sambal pelbagai lauk.
Selamat mencuba!
Sumber: Najwa Rashid
Baca juga: Ayam Untuk Nasi Ayam Guna Air Fryer, Hasil Kulit Cantik Dan Isi Kekal Lembut Memikat
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














