Banyak sangat tugas harian sampaikan nak masak pun kena cari resipi yang ringkas. Oleh itu, kami cadangkan anda buat Ikan Masak Asam yang mudah dibuat di rumah.
Ramai tertanya-tanya bagaimanakah rasanya Ikan Masak Asam yang sering dijadikan sebagai salah satu menu berpantang. Walaupun lauk ini ringkas, tapi sedapnya tak terkata.
Nak tahu cara buat Ikan Masak Asam yang lazat, anda boleh ikut resipi daripada Norashikin Ismail di Facebook yang hasilnya nampak sungguh menyelerakan. Jom kita cuba!
Baca juga: Cara Masak Ikan Kembung Pedas Dalam 10 Minit, Kuah Pekat Memang Terbuka Selera!
RESIPI IKAN MASAK ASAM
Bahan-bahan:
- Ikan kembung (nak guna ikan tenggiri atau merah dan lain-lain pun boleh)
- 2 sudu kecil asam jawa Adabi
- 5 hingga 6 biji bawang merah (belah dua)
- 5 ulas bawang putih
- Sehiris halia (nipis)
- Garam
- Gula
- 5 hingga 10 biji cili padi (nak ketuk atau letak sebiji-sebiji pun boleh)
- Tomato (belah empat, tak nak letak pun tak apa)
Cara-cara memasak:
1. Mula-mula, gaul ikan dengan garam dan kunyit, kemudian gorengkannya separuh garing.
2. Selepas itu, panaskan minyak, kemudian tumis bawang merah, bawang putih dan halia sehingga naik bau.
3. Setelah naik bau, masukkan asam jawa dan air dalam secawan teh (nak kuah lebih, boleh letak lebih).
4. Seterusnya, masukkan cili padi dan tomato, kemudian perasakan garam dan gula. Pastikan rasa masam dan masinnya seimbang dan kena dengan selera.
5. Akhir sekali, boleh masukkan ikan yang telah digoreng tadi. Siap untuk dihidang!
Bukan saja orang berpantang, malah mereka yang tak berpantang pun terkejut apabila dapat tahu Ikan Masak Asam sebenarnya sangat sedap dijadikan sebagai lauk tengah hari atau malam di rumah.
Lebih-lebih lagi jika keadaan cuaca yang sedang hujan di luar, dapat hirup kuahnya panas-panas memang bertambah segar dibuatnya.
Selamat mencuba!
Sumber: Norashikin Ismail
Baca juga: Ikan Bawal Masak Taucu, Lauk Mudah Dan Ringkas Ini Wajib Buat Setiap Minggu