Nikmat betul bila makan sup, kari, rendang atau masakan bergoreng jika daging yang dimasak lembut dab mudah dikunyah, betul tak?
Kalau anda nak tahu sebenarnya ada banyak cara mudah yang boleh digunakan untuk melembutkan daging. Bahan-bahan yang diperlukan juga mudah didapati.
Daripada menggunakan buah-buahan tertentu hinggalah teknik memasak yang betul, ini 6 petua yang boleh anda cuba.
Baca juga: Rahsia Sup Daging Sedap Sampai Jilat Mangkuk, Resipi Ini Buat Orang Makan Tak Henti!
Nanas antara bahan popular yang digunakan untuk melembutkan daging.
Buah ini mengandungi enzim bromelain yang membantu memecahkan protein pada daging. Caranya mudah sahaja, kisar sedikit isi nanas dan lumurkan pada daging atau perap daging dengan jus nanas asli sebelum dimasak.
Namun, jangan biarkan daging diperap terlalu lama kerana enzim tersebut boleh menyebabkan tekstur daging dan rasa daging berubah.
Selain nanas, betik muda juga sering digunakan sebagai petua tradisional untuk melembutkan daging.
Betik muda mengandungi enzim papain yang boleh membantu memecahkan protein.
Ambil sedikit betik muda dan kisar, kemudian gunakan bersama bahan perapan.
Petua ini sesuai untuk anda yang mahu menggunakan bahan semula jadi yang mudah ditemui di dapur.
Satu lagi petua orang lama yang terkenal adalah rebus daging dengan daun nangka.
Ambil beberapa helai daun nangka, bersihkan, dan masukkan ke dalam periuk ketika merebus daging. Petua ini dipercayai membantu menjadikan daging lebih cepat empuk.
Walaupun kaedah ini tidak memerlukan banyak bahan, pastikan daun yang digunakan bersih untuk dimasukkan ke dalam masakan.
Kalau tidak mahu menggunakan bahan perapan, anda boleh cuba teknik ini.
Ketuk permukaan daging menggunakan pengetuk daging atau bahagian belakang pisau. Ketukan perlahan dapat membantu memecahkan serat daging dan menjadikannya lebih mudah dikunyah selepas dimasak.
Teknik ini sangat sesuai untuk daging yang mahu dipanggang, dibakar atau digoreng kerana ia juga membantu bahan perapan meresap dengan lebih baik.
Cara memotong daging memainkan pernanan penting dan tak boleh dipandang ringan.
Perhatikan arah serat atau urat pada daging sebelum memotongnya. Kemudian, potong melawan arah serat supaya serat daging menjadi lebih pendek.
Teknik mudah ini boleh membuatkan daging menjadi lebih lembut apabila dimakan, walaupun anda tidak menggunakan sebarang bahan khas.
Kalau anda memang tidak mempunyai banyak masa untuk memasak, pressure cooker adalah pilihan yang lebih praktikal.
Peralatan ini menggunakan tekanan tinggi untuk memasak makanan dan membantu mempercepatkan proses melembutkan daging. Sebab itu ia sering digunakan untuk menyediakan hidangan seperti sup daging, stew, kari, gulai dan rendang.
Berbanding menunggu daging empuk selepas direbus lama, pressure cooker boleh membantu memendekkan tempoh memasak dengan ketara, bergantung pada jenis dan potongan daging serta model peralatan yang digunakan.
Bagi anda yang mahu membeli pressure cooker, pilih model yang mempunyai ciri keselamatan seperti kawalan tekanan, injap pelepas tekanan dan sistem kunci penutup. Pastikan juga anda menggunakannya mengikut arahan pengeluar.
Melembutkan daging sebenarnya tidak memerlukan cara yang rumit. Petua seperti menggunakan nanas atau betik muda, mengetuk daging dan memotong daging secara lawan arah urat boleh digunakan untuk memudahkan proses memasak.
Pada masa yang sama, cara memasak juga memainkan peranan penting. Untuk hidangan berkuah, penggunaan api perlahan boleh membantu menghasilkan tekstur yang lebih lembut, manakala pressure cooker pula sesuai untuk anda yang mahu menjimatkan masa.
Jadi, sebelum mengalah dengan daging yang liat, cuba salah satu petua ini terlebih dahulu. Mana tahu selepas ini, tak perlu lagi tunggu berjam-jam semata-mata untuk mendapatkan daging yang empuk dan lembut.
Membawa bekal ke pejabat bukan sahaja langkah bijak untuk menjimatkan perbelanjaan harian, malah membolehkan kawalan…
Kalau anda penggemar petai, resipi sambal hijau petai ini memang wajib dicuba. Sambal yang dimasak…
Kalau tengah cari resipi telur puyuh yang sedap dan boleh buat satu keluarga bertambah nasi,…
Kalau anak-anak dah mula bosan dengan menu sarapan yang sama, cuba pula buat roti bun…
Kalau sedang mencari cara buat tauhu sumbat yang mudah tetapi tetap sedap, resipi ini memang…
Ayam masak merah utara memang cukup sinonim dengan hidangan kenduri, terutama apabila disajikan bersama nasi…