
Pernah tak selepas makan, perut tiba-tiba rasa penuh, kembung, sendawa tak henti dan badan pula rasa cepat penat? Ramai tak sedar, masalah ini sebenarnya boleh berpunca daripada makanan berangin yang kita ambil setiap hari.
Walaupun makanan berangin tersebut tidaklah berbahaya, namun bagi individu yang mempunyai sistem penghadaman sensitif, gastrik atau refluks, ini boleh mencetuskan penghasilan gas berlebihan dalam badan.
Jom kenali 10 jenis makanan yang sering menyebabkan badan berangin, supaya anda boleh mengurangkan, mengawal atau mengelakkannya jika perlu.
Baca juga: 11 Tanda Tembikai Rosak & Tak Selamat Dimakan, Periksa Dulu Sebelum Masuk Mulut!
10 MAKANAN YANG MENYEBABKAN BADAN BERANGIN
1. Kekacang

Kredit gambar: mrsiraphol dari Freepik
Kekacang seperti kacang hijau, kacang dal, kacang merah dan kacang kuda mengandungi karbohidrat serta serat kompleks yang sukar dihadam sepenuhnya.
Apabila tidak dihadam dengan baik, bakteria dalam usus akan memecahkannya dan menghasilkan gas. Inilah punca perut kembung, sendawa berlebihan dan kerap kentut.
*Tip: Rendam kekacang lebih lama sebelum dimasak untuk mengurangkan kesan berangin.
2. Sayuran berangin

Kredit gambar: ededchechine dari Freepik
Antara sayur yang sering menyebabkan masalah ini ialah kubis, brokoli, kubis bunga dan kacang panjang.
Sayur-sayuran ini mengandungi sulfur dan serat tertentu yang boleh menyebabkan gas berlebihan, terutama bagi mereka yang mempunyai perut sensitif.
*Tip: Masak sayur hingga lembut dan elakkan makan mentah jika sering mengalami kembung.
3. Ubi-ubian

Kredit gambar: stockking dari Freepik
Ubi keledek, ubi kayu dan kentang mengandungi kanji serta karbohidrat kompleks yang boleh menghasilkan gas semasa proses pencernaan.
Walaupun mengenyangkan dan berkhasiat, pengambilan berlebihan boleh menyebabkan perut rasa penuh dan tidak selesa.
4. Makanan pedas dan terlalu berempah

Kredit gambar: benzoix dari Freepik
Makanan pedas boleh merangsang pengeluaran asid perut berlebihan.
Bagi individu yang sensitif, ia boleh mencetuskan gastrik, refluks dan perut rasa berangin selepas makan.
5. Minuman berkarbonat

Kredit gambar: rawpixel.com dari Freepik
Minuman seperti air gas dan soda mengandungi karbon dioksida yang terus masuk ke dalam perut.
Akibatnya, perut mudah kembung, terasa penuh dan menyebabkan sendawa berulang kali.
6. Makanan diperam

Kredit gambar: partystock dari Freepik
Belacan, tempoyak dan budu melalui proses penapaian yang menghasilkan gas dan histamin.
Walaupun popular dalam masakan tradisional, ia boleh menyebabkan ketidakselesaan perut dan angin berlebihan pada sesetengah individu.
7. Produk tenusu

Kredit gambar: freepik dari Freepik
Susu segar, keju dan yogurt boleh mencetuskan masalah kepada individu yang mengalami lactose intolerance.
Antara simptom biasa termasuk kembung perut, cirit-birit dan penghasilan gas berlebihan.
8. Makanan tinggi gula

Kredit gambar: Hotels.com
Kuih-muih, pencuci mulut dan minuman manis mengandungi gula berlebihan yang boleh menyebabkan proses penapaian dalam usus.
Ini seterusnya menghasilkan gas dan menyebabkan perut berangin.
9. Buah berangin

Kredit gambar: MeishiFood
Buah seperti durian, nangka, cempedak dan kundur tinggi kandungan gula semula jadi.
Jika diambil berlebihan, ia boleh menyebabkan perut kembung, rasa panas badan dan angin dalam perut.
*Tip: Ambil dalam kuantiti sederhana dan elakkan makan ketika perut kosong.
10. Minuman berkafein

Kredit gambar: wirestock dari Freepik
Kopi, teh tarik, minuman coklat dan minuman tenaga mengandungi kafein yang boleh merangsang pengeluaran asid perut.
Keadaan ini boleh menyebabkan gastrik, refluks dan perut terasa berangin, terutama jika diambil berlebihan.
Masalah badan berangin dan perut kembung bukan semata-mata berpunca daripada penyakit, tetapi sering berkait rapat dengan pemakanan harian.
Anda tidak perlu mengelakkan terus semua makanan berangin di atas. Cukup sekadar kurangkan, kawal dan perhatikan reaksi badan kerana setiap individu mempunyai tahap sensitiviti berbeza.
Namun, jika simptom berlarutan atau semakin teruk, sebaiknya dapatkan nasihat doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Semoga bermanfaat!
Sumber: hannansitukangurut
Baca juga: 13 Rahsia Buang Hanyir Ikan, Terus Buat Ikan Jadi Bersih, Lendir Hilang & Bau Pun Lesap!
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














