PENULIS
myResipi
KATEGORI
Artikel
POSTED ON
2019-04-30 06:24:06
Selera makan kita mesti akan terbantut kalau ikan tu hanyir kan? Tak bestlah nak makan bila rasa hanyir ni. Nak makan pun jadi tak semangat.
Sebab itulah penting untuk anda cuci ikan sebaiknya supaya hilang bau hanyir. Hari ini kami akan kongsikan tips untuk anda semua!
RENDAM DALAM AIR GARAM & LIMAU KASTURI
Kebiasaanya orang akan gunakan teknik ini untuk cuci ikan air sungai sebab ikan air sungai lebih hanyir daripada ikan laut. Anda hanya perlu rendamkan ikan dalam air berisi 3-4 sudu garam bersama dengan beberapa biji limau kasturi. Bukan setakat bau hanyir, lendir dari ikan pun mudah untuk dihilangkan!
RENDAM DALAM SUSU
Buang organ dalaman ikan terlebih dahulu dan rendamkan ikan anda seketika dalam air susu. Selepas beberapa minit, anda hanya perlu cuci semula ikan seperti biasa. Ikan anda akan hilang bau hanyir itu.
PERAP DENGAN TEPUNG
Anda hanya perlu perapkan ikan dalam tepung beras ataupun tepung gandum selama 10-20 minit untuk hilangkan hanyir ikan. Selepas itu, cuci bersih ikan anda dan masak seperti biasa.
AIR BASUHAN BERAS
Air basuhan beras jangan dibuang! Cuci ikan seperti biasa menggunakan air basuhan beras tersebut. Ianya boleh menghilangkan lendir dan bau hanyir ikan.
RENDAM DENGAN AIR CUKA
Anda hanya perlu campurkan sedikit cuka dalam air dan rendamkan ikan selama beberapa minit. Selepas itu, cuci ikan dengan bersih untuk hilangkan bau cuka.
PES CAMPURAN KUNYIT, TEPUNG JAGUNG & GARAM
Anda hanya perlukan serbuk kunyit, tepung jagung dan garam. Campurkan ketiga-tiga bahan ini dan perapkan ikan dengan pes itu selama 30 minit. Anda juga boleh terus goreng ikan anda tanpa mencuci.
GUNA LEMON
Hanya titiskan sedikit jus lemon ke atas ikan. Anda boleh juga gunakan limau purut untuk teknik ini. Biarkan seketika kemudian basuh bersih.
PERAP BERSAMA HALIA
Cincang halus halia dan perapkan bersama ikan selama 30 minit. Ini akan hilangkan bau hanyir pada ikan anda.