PENULIS
myResipi
KATEGORI
Artikel
POSTED ON
2020-08-10 04:12:24
Bila memasak di dapur, perkara yang paling tak selesa adalah selepas menumbuk atau memotong cili. Ini kerana rasa ‘pijar’ atau panas pedih pada tangan mesti akan muncul akibat daripada sentuhan dengan cili semasa menumbuk. Lagi-lagi bila tangan pula tersentuh mata, aduhhh pedihnya! Kadang-kadang sampai hilang selera makan sebab nak tahan pijar pada tangan.
Masalah pijar tangan ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya mencuci tangan dan ia memerlukan beberapa langkah yang betul untuk menghilangkan rasa kurang selesa pada tangan. Ini ada beberapa tips yang terbukti berkesan untuk menghilangkan rasa pijar pada tangan. Perkongsian ini dibuat oleh Rafiza Idayu menerusi laman Facebook.
1. Lumurkan dengan bahan lemak
Biasanya untuk bahan lemak, gunakan minyak masak kerana ia lebih mudah untuk didapatkan. Secara saintifiknya, lemak bertindak sebagai pelarut dan melemahkan ikatan capsaicin yang ada dalam komponen cili. Kalau anda belum tahu, capsaicin inilah yang membuatkan cili pedas dan penyebab pijar. Sapukan minyak pada kawasan yang terkena cili dan rasa pijar tersebut akan hilang dengan cepat. Apabila sudah terasa lega, cucikan tangan dengan sabun.
2. Lumurkan dengan garam dan gula
Cara ini juga sering diamalkan jika berlakunya rasa pijar cili pada tangan. Ada dua acara yang anda boleh ikuti. Cara pertama adalah dengan mengambil sedikit garam dan kemudian lumurkan pada tangan. Biarkan seketika dan selepas itu bilaskan sehingga bersih. Cara kedua pula, ambil sebekas air suam dan campurkan sedikit garam. Kemudian, rendamkan tangan ke dalam air campuran itu selama 5 minit atau sehingga rasa pijar semakin reda. Anda juga boleh lakukan petua yang sama dengan menggunakan gula.
3. Air rendaman asam jawa
Kredit: Titiknol
Menggunakan air asam jawa juga antara langkah yang berkesan untuk menghilangkan rasa pijar. Petua ini dikongsikan sejak turun-temurun daripada orang tua kita. Bagi anda yang belum pernah mencuba, cara-caranya adalah dengan mengambil sedikit asam jawa dan kemudian letakkan ke dalam bekas berisi air. Kacaukan sehingga rata dan kemudian rendamkan tangan anda ke dalam air rendaman tersebut. Anda akan rasa pijar-pijar pada tangan hilang dengan cepat.
4. Gosokkan tangan pada keluli
Kredit: Dennis Flood 2006
Petua ini mungkin kedengaran agak lucu, namun hakikatnya ia sememangnya berkesan! Caranya, gosokkan tangan anda pada sudu ataupun sinki selama beberapa minit. Kemudian, lalukan air pada tangan sehingga tangan anda rasa lebih lega dan selesa. Tambahan lagi, selain menghilangkan rasa pijar pada tangan, petua ini juga dipercayai boleh menghilangkan bau bawang atau bau masakan yang terlekat pada tangan.
5. Rendamkan ke dalam bekas beras
Akhir sekali, beras juga turut membantu menghilangkan rasa pijar pada tangan. Caranya adalah anda perlu meletakkan beras secukupnya ke dalam bekas. Kemudian, masukkan tangan anda ke dalam bekas tersebut. Tunggu sehingga rasa pijar semakin berkurangan dan bilas seperti biasa. Untuk cara yang lebih mudah, anda juga boleh terus memasukkan tangan anda ke dalam tong beras. Namun, pastikan tangan sudah dibersihkan dan dikeringkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam bekas tersebut.
Petua-petua ini sememangnya mudah untuk dilakukan. Anda tak perlu risau lagi untuk menumbuk atau memotong cili selepas ini kerana sudah ada solusinya. Kongsikan juga petua ini kepada orang lain supaya dapat memberi manfaat kepada semua.