
Sup ikan merah resepi yang sedap sebenarnya tidak memerlukan terlalu banyak rempah. Dengan beberapa bahan asas dan teknik tumisan yang betul, anda boleh menghasilkan kuah jernih yang penuh rasa, segar dan cukup menyelerakan untuk dinikmati bersama nasi panas.
Jika anda gemarkan hidangan berkuah yang ringan tetapi kaya dengan rasa, resipi ini memang patut dicuba. Gabungan rasa masam daripada limau, pedas cili padi dan kemanisan semula jadi isi ikan merah menjadikan setiap hirupan kuah terasa lebih puas, malah ramai yang mengaku sukar berhenti menambah nasi.
Baca juga: Cara Buat Sambal Ayam Stail Orang Dulu, Sambal Pekat Berkilat Buat Makan Bertambah Nasi!
SUP IKAN MERAH RESEPI MASAM PEDAS

Bahan-bahan kisar:
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
- 4 hingga 5 biji cili padi
- 2 biji bawang merah
Bahan-bahan lain:
- Ikan merah
- 1 batang serai (diketuk)
- 1 biji tomato (dipotong)
- Cili padi mengikut tahap kepedasan
- ½ sudu teh serbuk lada hitam (pilihan)
- Air secukupnya
- Garam secukup rasa
- Perahan limau nipis atau limau kasturi
- Daun ketumbar atau daun sup
Cara-cara penyediaan:
1. Panaskan sedikit minyak di dalam periuk.
2. Tumis bahan kisar bersama serai sehingga naik bau dan harum. Elakkan menumis terlalu garing supaya kuah kekal jernih.
3. Masukkan air secukupnya dan biarkan kuah mendidih beberapa minit agar semua rasa daripada bahan tumisan sebati.
4. Masukkan ikan merah dan masak sehingga isinya masak sempurna.
5. Kemudian masukkan tomato, cili padi, garam dan serbuk lada hitam jika menggunakan.
6. Tutup api sebelum memasukkan perahan limau nipis atau limau kasturi.
7. Akhir sekali, taburkan daun ketumbar atau daun sup dan hidangkan ketika masih panas.
Tips Sup Ikan Merah Lebih Sedap
- Gunakan ikan merah yang benar-benar segar supaya isi lebih manis, pejal dan tidak hanyir.
- Tumis bahan kisar sehingga naik bau kerana langkah ini membantu menaikkan rasa kuah walaupun menggunakan bahan yang ringkas.
- Masukkan tomato ketika ikan hampir masak supaya teksturnya masih elok dan tidak terlalu lembik.
- Perahkan limau selepas api ditutup untuk mengekalkan rasa masam yang segar.
- Jika sukakan rasa lebih pedas, tambahkan beberapa biji cili padi mengikut cita rasa.
- Hidangkan bersama nasi putih panas, sambal belacan dan ulam-ulaman untuk hidangan yang lebih lengkap.
Resipi ringkas ini membuktikan hidangan yang menggunakan bahan-bahan asas juga mampu menghasilkan rasa yang luar biasa. Kuahnya yang jernih, masam pedas dan segar dipadankan dengan isi ikan merah yang lembut memang membuatkan sesiapa sahaja tidak puas jika hanya semangkuk.
Selamat mencuba!
Sumber: Hani Che Lin
Baca juga: Resipi Masak Lemak Udang Cara Tumis Santan, Kuah Pekat Berlemak Buat Ramai Terliur
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














