
Kalau anda sedang mencari cara buat sambal ayam yang mudah tetapi hasilnya pekat, merah berkilat dan penuh rasa, resipi yang dikongsikan oleh Nor Farah Atika ini memang wajib dicuba. Walaupun ramai menyangka ia ayam masak merah, sebenarnya ini ialah sambal ayam stail orang dulu yang mempunyai rasa tersendiri.
Menariknya, resipi ini hanya menggunakan bahan-bahan asas yang mudah didapati di dapur. Rahsia keenakannya pula terletak pada teknik memasak sambal sehingga pecah minyak dan penggunaan gula Melaka yang menjadikan warna sambal lebih cantik serta menyelerakan.
Baca juga: Sup Kicap Pahang Yang Ramai Cari, Kuah Pekat Berempah Dan Daging Lembut Sungguh!
CARA BUAT SAMBAL AYAM STAIL ORANG DULU

Jika anda menggemari lauk tradisional yang ringkas tetapi sedap dimakan bersama nasi panas, resipi ini memang sesuai dijadikan menu seisi keluarga. Sambalnya pekat, harum dan melekat sempurna pada setiap ketul ayam.
Bahan-bahan:
Bahan utama:
- 1 ekor ayam (dipotong kecil)
- Garam secukup rasa
- Serbuk kunyit
Bahan kisar:
- Bawang merah
- Bawang putih
- Halia
Bahan lain:
- Serai (dititik)
- Cili kisar
- Daun limau purut
- Gula Melaka
- Asam jawa
- Garam atau serbuk perasa secukup rasa
- 1 biji bawang Holland (dihiris)
Cara-cara Penyediaan:
1. Gaulkan ayam bersama garam dan serbuk kunyit sehingga rata.
2. Goreng ayam sehingga masak dan sedikit keemasan. Angkat serta ketepikan.
3. Panaskan sedikit minyak, kemudian tumiskan bahan kisar bersama serai yang telah dititik dan cili kisar.
4. Masak sehingga sambal benar-benar pecah minyak.
5. Tambahkan sedikit air dan teruskan memasak sehingga sambal pecah minyak sekali lagi.
6. Masukkan daun limau purut, gula Melaka, asam jawa serta garam atau serbuk perasa mengikut cita rasa.
7. Masukkan ayam goreng dan gaul sehingga semua ayam bersalut dengan sambal.
8. Akhir sekali masukkan hirisan bawang Holland.
9. Kacau sebentar sehingga bawang sedikit layu, kemudian tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
Tips Sambal Ayam Pekat & Berkilat
- Lebihkan penggunaan bawang merah kerana ia membantu menghasilkan sambal yang lebih pekat, manis semula jadi dan berlemak.
- Gunakan gula Melaka atau nisan untuk mendapatkan warna sambal yang lebih merah cantik serta rasa yang lebih seimbang.
- Pastikan sambal dimasak sehingga benar-benar pecah minyak sebelum menambah air.
- Selepas menambah air, teruskan memasak sehingga sambal pecah minyak buat kali kedua supaya tekstur sambal lebih pekat dan tidak mudah berair.
- Jangan tergesa-gesa ketika menumis kerana proses inilah yang menentukan rasa, aroma dan warna sambal yang sempurna.
Dengan hanya beberapa bahan mudah dan teknik memasak yang betul, anda boleh menghasilkan sambal ayam stail orang dulu yang pekat, berkilat dan cukup membuka selera. Memang sesuai dihidangkan bersama nasi putih panas, nasi minyak atau nasi tomato untuk dinikmati bersama seisi keluarga.
Selamat mencuba!
Sumber: Nor Farah Atika
Baca juga: Tak Perlu Lauk Rumit, Nasi Butter Simple Guna 3 Bahan Ini Dah Cukup Buat Anak Berselera
Dapatkan Audio+
Hot FM
Kool FM
Eight FM
Fly FM
Molek FM














