Menu hari ini adalah yang popular di kedai makan ala thai. Tak lain tak bukan, ikan siakap masak 3 rasa. Baru sebut sahaja, dah kecur air liur.
Tapi, ramai yang sangka masak ikan siakap 3 rasa ini rumit. Penyediaan hanya memakan masa lebih kurang 30 minit sahaja. Tidaklah susah mana.
Mestilah MyResipi akan bagi anda resipi yang mudah, jimat masa dan sesuai dengan semua lapisan masyarakat. Jadi, resipi hari ini oleh Cik Puan Nor Khomariah Norrohman yang sudi berkongsi di laman Facebook.
Baca juga: Sambal Ikan Bilis TERPALING Senang, Jangan Skip Langkah Ini Kalau Nak Garing
RESIPI SIAKAP MASAK 3 RASA
Bahan-bahan:
- 1 ekor ikan Siakap
- Tepung jagung secukupnya
- 3 ulas bawang putih (cincang halus)
- 1 biji bawang merah (potong dadu)
- 2 keping nenas (potong dadu)
- 2 batang serai (potong serong)
- 2 biji tomato (potong dadu)
- 2 sudu besar sos tiram
- 3 sudu besar sos tomato
- 3 sudu besar sos cili
- 3 sudu besar sos cili Thai atau cili kering kisar
- 1 sudu kecil nampla atau sos ikan
- 2 sudu besar jus limau atau air limau nipis
- Air secukupnya
- Minyak masak secukupnya
- Garam, gula, dan perasa secukupnya
- 10 biji cili padi Thai merah dan hijau (potong kecil)
- Daun sup untuk hiasan
Cara-cara memasak:
1. Bersihkan ikan dan lumurkan dengan tepung jagung sehingga rata.
2. Goreng ikan sehingga garing. Angkat dan toskan minyak. Letakkan ikan di atas pinggan hidangan.
3. Ambil sedikit minyak daripada minyak gorengan ikan tadi. Tumis bawang putih, bawang merah, dan serai sehingga wangi.
4. Masukkan segala jenis sos (sos tiram, sos tomato, sos cili, sos cili Thai atau cili kering kisar) dan gaul sebati. Biarkan seketika.
5. Masukkan nenas, cili padi, dan tomato. Gaul hingga sebati.
6. Tambah air secukupnya (jangan terlalu cair). Masukkan jus limau. Perasakan dengan garam, gula, dan perasa.
7. Apabila kuah sudah masak, tuangkan ke atas ikan yang telah digoreng tadi.
8. Taburkan daun sup sebagai hiasan. Hidangan siap untuk dihidangkan.
Selamat mencuba!
Sumber: Nor Khomariah Norrohman
Baca juga: Cara Buat Sambal Tempoyak Daun Kayu, Resipi Original Negeri Sembilan!