Setiap kali pergi ke kedai nasi kandar, memang tak sah kalau pekena sayur kubis goreng. Rasanya yang sedikit berempah memang sangat sesuai dimakan dengan kari.
Lauk ini juga boleh dikatakan menu signature di setiap restoran nasi kandar. Tidak lengkap sekiranya makan nasi kandar tanpa sayur kubis goreng ini.
Selepas ini anda boleh cuba masak sendiri di rumah. Mudah saja cara memasaknya jika anda ikuti resipi perkongsian oleh Mohd Rozmie di bawah.
Baca juga: Mudah Saja Resipi Sayur Bendi Tumis Ala Restoran, Lagi Berbaloi Buat Sendiri!
SAYUR KUBIS GORENG MAMAK
Bahan-bahan:
- ½ biji kubis
- 6 ulas bawang merah
- 4 ulas bawang putih
- ½ batang lobak merah
- 1 sudu teh halba campur
- 1 inci halia
- 6 tangkai cili kering
- 2 biji cili padi
- 2 tangkai daun kari
- 1 sudu teh serbuk kunyit
- ½ sudu teh jintan putih
- Sedikit serbuk lada sulah/putih
- Garam secukup rasa
Bahan tumisan:
- Halia potong mancis
- Bawang merah potong mayang
- Cili padi potong kasar
- Bawang putih racik halus
- Cili kering gunting 2 atau 3
- Daun kari
- Halba campur
Cara memasak:
1. Panaskan 1 senduk minyak, masukkan kesemua bahan tumisan. Tumis sehingga semua bahan naik bau dan menjadi layu.
2. Apabila bahan tumisan sudah layu, masukkan ¼ cawan air. Kemudian, masukkan 1 sudu teh serbuk kunyit dan kacau sebati.
3. Seterusnya, masukkan sayur kubis dan lobak merah. Gaul sehingga semuanya bercampur rata dan sebati.
4. Masukkan ½ cawan air. Sayur ini tidak perlu kuah yang banyak. Taburkan juga ½ sudu kecil biji jintan putih.
5. Perasakan dengan sedikit garam secukupnya. Taburkan juga sedikit lada sulah/putih. Sayur ini terasa pedas, tapi rasa dari bahang lada sulah dan herba campurannya.
6. Gaul sebati sehingga sayur sudah nampak layu dan lembut, kemudian boleh tutup api.
7. Dah siap sayur kubis goreng ala mamak. Selamat menjamu selera!
Kredit resipi dan gambar: Mohd Rozmie
Baca juga: Sayur Meranti Masak Lemak Keledek, Lauk Kampung Yang Nikmat Tak Terkata!