Kalau suka makan cempedak goreng, memang wajib cuba resipi tepung goreng cempedak ini. Bancuhan tepungnya mudah sahaja dibuat, tetapi hasilnya rangup, garing dan sedap dimakan panas-panas.

Menariknya, bancuhan tepung ini boleh menghasilkan salutan yang kekal rangup walaupun sudah sejuk. Buknan setakat sesuai untuk cempedak, bancuhan ini juga boleh digunakan untuk menggoreng pisang, ikan, makanan laut, ubi, tauhu dan pelbagai jenis gorengan lain.

Rahsianya ada pada penggunaan ais dalam bancuhan tepung. Pastikan air yang digunakan tidak terlalu cair atau terlalu pekat supaya salutan tepung melekat elok pada bahan dan hasil gorengan menjadi lebih rangup. Jom cuba!

Baca juga: Resipi Ikan Dori Goreng Rangup Guna 3 Bahan, Tak Perlu Bancuhan Tepung Rumit

RESIPI TEPUNG GORENG CEMPEDAK RANGUP

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung beras
  • 1 sudu kecil garam
  • Sedikit air kapur, kira-kira hujung sudu kecil
  • 1 biji telur
  • Sedikit pewarna kuning telur
  • 4-5 ketul ais
  • Air sejuk secukupnya
  • Isi cempedak secukupnya
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan tepung beras, garam, air kapur, telur dan sedikit pewarna kuning telur ke dalam mangkuk.
  2. Tuangkan air sejuk sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga menjadi bancuhan yang tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat.
  3. Masukkan 4-5 ketul ais ke dalam bancuhan. Ais ini membantu menghasilkan salutan tepung yang lebih rangup dan tahan garing.
  4. Panaskan minyak yang mencukupi dalam kuali.
  5. Celupkan isi cempedak ke dalam bancuhan tepung sehingga bersalut rata.
  6. Masukkan cempedak ke dalam minyak yang sudah panas dan goreng sehingga kuning keemasan serta rangup.
  7. Angkat dan toskan minyak. Cempedak goreng rangup sedia untuk dinikmati.

Tip: Bancuhan tepung yang sama juga boleh digunakan untuk menggoreng ikan, seafood, pisang, ubi dan tauhu. Pastikan minyak benar-benar panas sebelum mula menggoreng supaya salutan tepung tidak menyerap terlalu banyak minyak.

Sumber: Tuan Adriana Arissa

Baca juga: Cara Masak Tempe Guna Air Fryer, Rangup Sedang Elok & Tak Keras Macam Kerepek

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending