Musim hujan begini memang sesuai untuk hidangan yang ringkas tetapi mengenyangkan. Resipi sambal goreng jawa adalah salah satu pilihan terbaik, bukan sahaja kerana kosnya yang rendah, tetapi juga rasa yang enak dan pelbagai bahan yang menyelerakan.
Resipi ini bukan sahaja mudah disediakan tetapi juga fleksibel. Anda boleh menambah bahan-bahan lain seperti udang kecil atau isi ayam untuk variasi.
Selain itu, kicap manis adalah kunci rasa pada hidangan ini. Jadi, pastikan anda menggunakan kicap berkualiti.
Baca lagi: Buat Sendiri Burger Ala Prosperity, Puas Hati Boleh Makan Satu Keluarga!
RESIPI SAMBAL GORENG JAWA
Bahan-Bahan Utama:
- Tempe: 2 keping, dipotong mengikut saiz yang diingini
- Tauhu: 3 keping, dipotong kecil
- Ubi kentang: 3 biji, dihiris nipis
- Suhun: Direndam sehingga lembut
- Kacang panjang: Dipotong serong
- Cili padi: Diiris halus
- Bawang merah: 5 ulas, dihiris
- Bawang putih: 4 ulas, dihiris
- Cili boh: 2 sudu besar
- Halia: Sedikit, ditumbuk halus
- Kicap manis: Secukup rasa
Cara Memasak:
1. Potong tempe dan tauhu mengikut saiz yang dikehendaki, kemudian gaulkan dengan sedikit kunyit dan garam. Goreng hingga kekuningan, ketepikan.
2. Hiris ubi kentang nipis dan goreng hingga garing. Ketepikan.
3. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bawang merah, bawang putih, cili padi, halia, dan cili boh hingga wangi.
4. Tambahkan sedikit garam, gula, dan serbuk perasa untuk menyempurnakan rasa.
5. Masukkan suhun yang telah direndam ke dalam tumisan sambal. Gaul hingga sebati.
6. Masukkan tempe, tauhu, ubi kentang, dan kacang panjang ke dalam kuali. Gaul hingga semuanya bercampur dengan rata.
7. Tuangkan kicap manis mengikut cita rasa anda. Gaul lagi sehingga kacang panjang lembut dan semua bahan menjadi sebati.
8. Tutup api, hidangan siap sedia untuk dihidangkan.
Sambal goreng jawa ini sesuai dinikmati bersama nasi putih panas dan padankan dengan masak lemak pucuk ubi atau lauk lain kegemaran keluarga.
Selamat mencuba!
Sumber: AeJaa Sabri
Baca lagi: Cara Masak Tomyam Tanpa Pes, Resipi Tak Pedas Sesuai Untuk Budak