Mari cuba resepi Bagel homemade menerusi perkongsian Cik Puan Ainull Najhwar Abdul Razak ini. Memang agak menarik dan cantik kejadiannya.
Untuk pengetahuan semua, walaupun rupanya seperti donut namun teksturnya agak berbeza dan biasanya mempunyai kerak luar yang rangup dan bahagian dalam yang kenyal.
Baca juga: Resipi English Muffin Yang Sesuai Dijadikan Menu Sarapan Pagi
Pada mulanya, bagel dibuat dengan bahan-bahan mudah, seperti tepung, air, yis, garam dan gula. Tapi bila sudah semakin moden, pelbagai variasi bagel sudah tercipta dengan penambahan pelbagai perisa, inti, dan topping seperti bijan, bawang putih cincang, atau garam kasar pada permukaan bagel sebelum dibakar.
Ia merupakan salah satu makanan yang cukup popular di pelbagai negara di seluruh dunia terutamanya di Amerika Utara terutamanya di New York.
Mari lihat cara penyediaannya yang anda boleh cuba.
RESEPI BAGEL HOMEMADE
Assalamualaikum, resepi Bagels ini adalah idea yang boleh dibuat oleh ibu-ibu sementara anak-anak cuti. Anak saya panggil donut. Tapi teksturnya tidak lembut seperti donut/roti.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 240gm air
- 3/4 sudu kecil yis (saya guna saf)
- 450gm tepung roti
- 1 1/2 sudu kecil garam
- 1 1/2 sudu kecil minyak sayur
- 1 1/2 sudu kecil barley malt (saya guna madu)
- 1 sudu besar soda bikarbonat
- Bahan untuk hiasan – bijan, poppy seed, pumpkin seed
Cara-cara penyediaan:
1. Boleh guna mixer, breadmaker atau uli dengan tangan untuk hasilkan doh. Doh yang dihasilkan tidak terlalu lembut. Selepas doh dihasilkan, bahagi kepada 6 bahagian. Boleh dapat dalam 120gram sebab kesemuanya dalam 700gram. Bulatkan dan rehat 20 minit (tutup dengan cling wrap).
2. Kemudian, leperkan sedikit doh dan dengan menggunakan hujung sudip atau jari buat bulatan ditengah seperti buat donut. Biarkan 20 minit (tutup dengan cling wrap).
3. Sementara itu masuk air dalam periuk dan tambah soda bikarbonat. Didihkan. Masukkan dalam 2-3 biji doh dalam satu masa dan masak 1 minit atas, 1 minit bawah. Letak atas wire rack untuk toskan air. Letakkan di dalam dulang pembakar dan hias dengan poppy seed, pumpkin seed & bijan. Saya ada tambah lada hijau dan cheese.
4. Bakar pada suhu 260 selama 8 minit dan turunkan suhu pada 230 selama 7 minit. Masa dan suhu bergantung kepada kapasiti oven ya.
5. Sudah siap!
Roti bagel ini sedap dimakan dengan cream cheese frosting. Manis. Boleh juga makan dengan telur, salad, buat macam sandwich dan lain-lain mengikut citarasa masing-masing.
Selamat mencuba.
Baca juga: Resipi Puff Pastry Sosej Cheese, Sarapan Mudah Guna Air Fryer