Salad macaroni buah antara hidangan yang sesuai dinikmati ketika cuaca panas. Gabungan makaroni lembut, buah-buahan manis, mayonis dan susu pekat menghasilkan rasa lemak manis yang cukup menyelerakan.

Menariknya, resipi salad makaroni ini menggunakan agar-agar atau jelly perisa anggur yang dipotong dadu kecil. Bahan tambahan ini memberikan tekstur kenyal serta rasa buah-buahan yang menjadikan salad lebih istimewa berbanding versi biasa.

Cara penyediaannya juga sangat mudah kerana tidak memerlukan banyak langkah. Hanya perlu rebus makaroni, sediakan jelly dan gaulkan semua bahan sehingga sebati. Simpan dalam peti ais terlebih dahulu supaya lebih sedap dinikmati ketika sejuk.

Baca juga: Patutlah ‘Viral’ Salad Timun Yogurt Ini, Sangat Lazat & Sesuai Untuk Diet

RESEPI MACARONI SALAD BUAH

salad macaroni

Bahan-bahan:

  • 500g makaroni (direbus dan ditoskan)
  • 1/2 cawan susu pekat
  • 1/2 cawan mayonis
  • Serbuk agar-agar atau jelly perisa anggur
  • 4 sudu besar gula
  • 700ml air
  • Buah campuran dalam tin
  • Buah laici (pilihan)

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan gula, air dan serbuk agar-agar perisa anggur ke dalam periuk. Kacau dan didihkan sehingga serbuk agar-agar larut sepenuhnya.
  2. Tuangkan bancuhan agar-agar ke dalam loyang dan biarkan sehingga mengeras. Setelah itu, potong agar-agar berbentuk dadu kecil mengikut saiz yang disukai.
  3. Rebus makaroni sehingga lembut. Kemudian, bilas menggunakan air sejuk dan toskan sehingga tiada lebihan air.
  4. Masukkan makaroni ke dalam bekas besar bersama susu pekat dan mayonis.
  5. Tambahkan agar-agar yang telah dipotong dadu, buah campuran dalam tin dan buah laici jika suka.
  6. Gaulkan semua bahan sehingga sebati dan salad makaroni buah sedia untuk dinikmati.

Tip: Kalau suka rasa lebih meriah, boleh tambahkan buah-buahan mengikut citarasa. Lagi banyak buah, lagi menarik rasanya! Simpan dalam peti ais terlebih dahulu dan nikmati ketika sejuk. Memang susah hendak berhenti makan!

Sumber: Nur Shafirah Salleh

Baca juga: Resipi Salad Timun Tuna Yang Berkrim, Hanya Perlu Hiris & Gaul Terus Siap!

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending