Kalau ada biskut di dapur, bolehlah cuba resepi puding biskut ini. Bahan yang digunakan pun cukup ringkas iaitu biskut, telur dan susu pekat. Campur, kisar dan kukus sahaja!

Menariknya, adunan puding ini dibahagikan kepada beberapa bahagian sebelum dicampur pewarna pilihan. Kemudian, setiap warna dikukus selapis demi selapis sehingga menghasilkan puding yang nampak cantik macam kuih lapis.

Sesuai sangat dijadikan stok minum petang sebab boleh disimpan dalam peti sejuk dan dinikmati sejuk-sejuk. Nak buat untuk anak-anak pun menarik kerana boleh pilih warna kegemaran masing-masing.

Baca juga: Resipi Puding Buah Koktail, Sejuk-Sejuk Masuk Mulut Memang Nikmat!

RESEPI PUDING BISKUT LAYER

Bahan-bahan:

  • 24 keping biskut krim kraker
  • 4 biji telur
  • ½ tin susu pekat manis
  • Gula secukup rasa (lebihkan jika suka manis)
  • Pewarna makanan pilihan

Cara-cara penyediaan:

  1. Rendam biskut krim kraker dalam air panas sehingga lembut dan kembang. Kemudian, toskan.
  2. Masukkan biskut yang telah direndam, telur dan susu pekat ke dalam pengisar. Kisar sehingga adunan benar-benar halus dan sebati.
  3. Rasa adunan. Jika kurang manis, boleh tambahkan sedikit gula mengikut cita rasa.
  4. Bahagikan adunan kepada beberapa bahagian mengikut jumlah warna yang diinginkan. Masukkan pewarna makanan dan kacau sebati.
  5. Panaskan pengukus terlebih dahulu. Sapu sedikit minyak atau marjerin pada loyang supaya puding mudah dikeluarkan selepas masak.
  6. Tuangkan lapisan pertama ke dalam loyang dan kukus selama kira-kira 5 minit.
  7. Setelah lapisan pertama agak set, tuangkan pula adunan warna kedua. Kukus lagi selama 5 minit.
  8. Ulang proses yang sama sehingga semua adunan habis.
  9. Untuk lapisan terakhir, kukus selama kira-kira 15 minit atau sehingga puding masak sepenuhnya.
  10. Angkat dan biarkan puding sejuk pada suhu bilik terlebih dahulu. Kemudian, masukkan ke dalam peti sejuk sehingga sejuk dan lebih mudah dipotong.
  11. Potong mengikut saiz yang disukai dan hidangkan sejuk-sejuk.

Tip:

  • Pastikan setiap lapisan sudah agak set sebelum menuang lapisan seterusnya supaya warna tidak bercampur.
  • Kalau suka puding yang kurang manis, gula tambahan boleh ditinggalkan kerana susu pekat sudah memberikan rasa manis.
  • Gunakan warna yang berbeza untuk setiap lapisan supaya coraknya lebih menarik apabila dipotong.
  • Jangan terus potong ketika puding masih panas. Sejukkan dahulu supaya lapisan lebih kemas dan tidak mudah hancur.

Sumber: Dayana Yana

Baca juga: Resipi Puding Roti Dengan Sos Kastard ‘Premium’, Buat Seloyang Sekejap Saja Dah Licin

Resipi 20 Minit Siap

Resipi Trending