Bosan asyik makan nasi untuk makan tengah hari? Apa kata cuba resepi lasagna daging yang mudah dan pasti sedap ini! Bukan itu saja, ia juga mudah disediakan.
Dengan bahan-bahan yang mudah didapati dan langkah-langkah yang ringkas, anda pasti dapat menyediakan hidangan yang menyelerakan ini di rumah.
Bayangkan lapisan kepingan lasagna yang lembut, sos bolognese yang penuh rasa dan keju yang meleleh, pasti memuaskan selera anda dan keluarga. Jom cuba!
Baca juga: Cara Masak Spaghetti Carbonara Versi Express, Campak-Campak Dah Siap!
RESEPI LASAGNA DAGING
Bahan sos bolognese:
- Kepingan lasagna (rebus dengan sedikit minyak dan garam)
- 2 sudu besar mentega
- 1 biji bawang holland (dihiris)
- 3 ulas bawang putih (dihiris)
- 500g daging/ayam cincang
- 1 kiub ayam
- 1 botol sos tomato pasta
- Lada hitam (secukup rasa)
- Garam (secukup rasa)
- 1 sudu kecil herba Itali
- Serbuk cili (jika mahu pedas)
- Sedikit air rebusan pasta
- 3 keping keju cheddar slice
Bahan sos putih:
- 2 sudu besar tepung gandum
- 2 kotak susu kecil (jenis susu segar)
- Lada hitam (secukup rasa)
- Lada sulah (secukup rasa)
- Garam (secukup rasa)
Cara buat sos bolognese:
- Rebus kepingan lasagna dalam air mendidih yang dicampur sedikit minyak dan garam sehingga lembut. Ketepikan.
- Cairkan mentega dalam kuali, tumis bawang Holland dan bawang putih hingga layu.
- Tambahkan daging cincang dan masak hingga separuh masak.
- Hancurkan kiub ayam dan masukkan ke dalam kuali.
- Masukkan satu botol sos tomato pasta ke dalam kuali, kacau rata.
- Tambahkan lada hitam, garam, herba Itali dan serbuk cili jika suka pedas. Kacau rata.
- Masukkan sedikit air rebusan pasta dan biarkan masak hingga agak kering.
- Masukkan 3 keping keju cheddar slice, kacau hingga keju cair dan sos menjadi pekat. Sos bolognese siap.
Cara buat sos putih:
- Panaskan kuali, masukkan tepung gandum dan kacau hingga sebati dan sedikit keperangan.
- Masukkan 2 kotak susu kecil ke dalam kuali, kacau menggunakan whisk sehingga campuran menjadi pekat.
- Tambahkan lada hitam, lada sulah dan garam. Kacau hingga semuanya sebati. Jika mahu sos lebih cair, boleh tambah susu.
Cara lapisan lasagna:
- Lapisan Pertama: Letakkan lapisan sos putih di dasar loyang pembakar.
- Lapisan Kedua: Susun kepingan lasagna yang telah direbus di atas sos putih.
- Lapisan Ketiga: Tambahkan sos bolognese di atas kepingan lasagna.
- Taburkan keju pilihan anda di atas sos bolognese.
- Ulangi langkah-langkah ini (sos putih, lasagna, sos bolognese, keju) hingga siap.
- Panaskan oven pada suhu 200°C. Bakar lasagna selama 25 minit menggunakan api atas bawah.
- Setelah masak, keluarkan dari oven dan sedia untuk dihidangkan. Selamat mencuba!
Kredit: Dea Noorfaizura
Baca juga: Resipi Spaghetti Carbonara Original Orang Itali, Tak Guna Sos Segera & Susu